Rafizi Dedah Zaid Ibrahim Minta Tanah Di Selangor Ikut 'Cara Halus'.


Sejak mengumumkan menjadi calon PRK Kajang, Datuk Zaid Ibrahim melontarkan pelbagai tuduhan terhadap Keadilan dan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ini termasuklah tuduhan yang mempersoalkan ketelusan, integriti dan budaya politik yang dibawa Keadilan.

Kebelakangan ini, Datuk Zaid Ibrahim membuat cabaran untuk berdebat pula dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, juga atas alasan ketelusan dan integriti.

Saya pada mulanya tidak mahu memberi maklum balas tetapi selepas ditanya berkali-kali terutamanya oleh FreeMalaysiaToday yang ghairah membawa berita ini, saya akhirnya membuat keputusan melontarkan kembali beberapa perkara berhubung kredibiliti yang perlu juga dijawab oleh Datuk Zaid Ibrahim.


Jika beliau lantang berkempen atas platform ketelusan dan integriti serta memberi gambaran beliau ingin menyelamatkan kerajaan Selangor daripada ahli politik yang membawa budaya rasuah dan campur tangan, maka beliau juga perlu mempunyai rekod yang baik dalam perkara itu.

Malangnya, keadaannya tidak sebegitu.

Dalam tempoh pendek lebih setahun beliau menjadi anggota Keadilan beliau jugalah yang tidak segan silu cuba menggunakan kedudukan di dalam parti untuk mempengaruhi keputusan kerajaan negeri berhubung beberapa projek yang diusahakan oleh rakan atau pihak yang bersabit dengan beliau.

Sebagai Ketua Eksekutif Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor, saya pernah didatangi sendiri oleh Datuk Zaid Ibrahim yang meminta supaya kami campur tangan dalam dua projek yang diusahakan rakan atau pihak yang bersabit dengan beliau.

Projek pertama melibatkan tanah seluas 26 ekar di Batu/Selayang. Saya dimaklumkan bahawa rakan/rakan kongsi beliau telah membuat cadangan pembangunan bersama dengan Kumpulan Hartanah Selangor Berhad (KHSB).

Pada 25 Jun 2010, dalam satu e-mel yang saya sertakan bersama, Datuk Zaid Ibrahim secara terang-terangan memohon pejabat saya campur tangan dengan melobi Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim, untuk meluluskan cadangan yang dibuat oleh rakan atau pihak yang bersabit dengan beliau itu.

Datuk Zaid Ibrahim juga ada menyebut secara lisan kepada saya untuk membantu mendapatkan tanah PT70 dan PT71 iaitu dua lot tanah premium di Petaling Jaya juga bagi tujuan untuk dibangunkan oleh rakan atau pihak yang bersabit dengan beliau.

Saya memaklumkan perkara ini kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kami bersetuju bahawa adalah tidak menepati prosedur untuk pejabat kami membenarkan pimpinan parti melobi atau mempengaruhi keputusan kerajaan negeri, terutamanya yang bersabit dengan harta awam.

Oleh itu, pada 13 Julai 2010, saya membalas e-mel Datuk Zaid Ibrahim untuk memaklumkan kepada beliau prosedur yang akan digunapakai oleh pejabat kami dan kerajaan negeri dalam menangani permohonan pembangunan bersama harta kerajaan Selangor.

Budaya melobi dan menggunakan kedudukan politik di dalam parti untuk mempengaruhi keputusan kerajaan adalah budaya Umno/Barisan Nasional (BN) yang tidak telus. Budaya ini bertentangan sepenuhnya dengan hasrat Pakatan Rakyat (PR) untuk mengehadkan pengaruh politik di dalam perkara-perkara bersabit dasar dan maklumbalas pelaksanaan dasar.

Keputusan melibatkan harta dan tender diserahkan kepada jawatankuasa yang dipertanggungjawabkan mengikut prosedur yang termaktub.

Jelas bahawa kelantangan Datuk Seri Zaid Ibrahim mengenai ketelusan, integriti dan budaya politik bebas rasuah hanyalah lantang dengan suara, tetapi tidak dicerminkan oleh tindak tanduk beliau.

Ini soal kredibiliti sebenar. Sebelum beliau terus lantang mencabar orang lain, wajarlah Datuk Zaid menjelaskan kenapa beliau kekal dengan budaya Umno/BN setelah meninggalkan Umno/BN? – 26 Februari, 2014.

* Penulis adalah Pengarah Strategi PKR.

Share this :

Previous
Next Post »