Kenyataan Ketua Ulama PAS Pahang - Jawapan Untuk DAP YG Mahu Keluarkan PAS Dari PR.

PAS diberi kata dua oleh Pakatan Rakyat?

Politik PKR dan DAP dalam Pakatan Rakyat sangat istimewa. Dalam isu MB Selangor jelas mereka memaksa PAS untuk mengikut apa sahaja keputusan mereka. Hari ini DAP memberi kata dua kepada PAS sama ada bersetuju dengan keputusan PKR dan DAP atau dikeluarkan daripada Pakatan Rakyat.

Apakah pakatan bererti mengiyakan segala kehendak rakan pakatan? Tidakkah keputusan yang besar seperti isu kedudukan MB Selangor memerlukan persetujuan bersama. Apabila satu rakan pakatan tidak bersetuju maka agenda itu tidak boleh dilaksanakan. 

Apatah lagi tindakan untuk menggugurkan Khalid Ibrahim selaku Menteri Besar Selangor yang dilantik dengan persetujuan bersama selepas PRU ke 13 hanya diputuskan oleh PKR secara bersendiri kemudian dihebahkan kepada masyarakat sebagai satu tekanan untuk PAS hanya menerima sahaja keputusan.

Amat bacullah PAS jika hanya tunduk kepada kehendak dan paksaan. PAS ada pandangan tersendiri dalam apa sahaja isu politik dengan berteraskan rujukan al-Quran dan al-Sunnah. Segala tindak-tanduk melibatkan gerak kerja politik sama ada tahaaluf siyaasi, kerjasama politik, pemilihan calon pilihanraya, perlantikan perjawatan, manifesto dan strategi diputuskan dengan melihat kepada panduan al-Quran dan al-Sunnah.

Adakah Pakatan Rakyat masih ada masa depan? Bagaimana PAS boleh terus berada dalam Pakatan Rakyat jika sekiranya ini cara bertindak dalam membuat keputusan besar?

PAS adalah sebuah parti politik yang juga mempunyai pengikut akar umbi yang ramai sebagaimana PKR dan DAP. PAS bukan baru dalam persada politik tanahair. PAS sudah biasa melakukan kerjasama politik kemudiannya ia terungkai. PAS juga telah biasa bersendirian ditekan oleh BN. Dalam apa keadaan sekalipun PAS tetap berjuang menghadapi Barisan Nasional bagi membawa alternatif pemerintahan berlandaskan Islam.

Wajarkah mana-mana parti yang dipaksa menurut kehendak parti lain? Adakah itu semangat pakatan? Maka disaat kata dua diberi masihkah ada ruang bagi pimpinan PAS berfikir untuk mengukuhkan Pakatan Rakyat?

Ustaz Mokhtar Senik
Ketua Dewan Ulamak Pas Pahang


Sumber : edaran wassap.

Share this :

Previous
Next Post »