t>

Breaking News

Kenyataan Media Adun PKR - Rafizi Perlu Tutup Mulut.


Respon saya kepada YB Rafizi Ramli.

YB Rafizi Wajar Tutup Mulut.

Saya tergerak hati untuk memberikan respon kepada gesaan YB Rafizi Ramli kepada ADUN KEADILAN Selangor di media hari ini.

1) Saya sangat terkejut dengan gesaan beliau. Disebabkan beliau membuat saranannya melalui media, maka saya menjawap gesaannya juga melalui media.

2) Saya berpandangan tidak perlu saya dan rakan rakan ADUN di arah menarik diri kerana kami bukanlah orang yang dicalonkan sebagai menteri besar. Gesaan beliau dilihat sangat tidak manis, seolah olah saya dan rakan rakan lain tidak ada pendirian selama ini.

3) Tindakan YB Nik Nazmi Nik Ahmad, ADUN Seri Setia mengeluarkan kenyataan terbuka adalah wajar dipuji kerana beliau adalah juga dicadangkan namanya sebagai calon oleh Pemuda PAS. Walaupun beliau tidak wajib memberikan jawapan balas terbuka begitu kerana ia hanya cadangan rakan sejawatnya, namun saya hormati pendiriannya. Hakikat sebenar semua ADUN sudah menandatangani akuan sumpah (SD) menyatakan sokongan kepada YB Dato' Seri Wan Azizah pada 14 Ogos lepas Ismail adalah bukti jelas lagi terbuka sokongan padu saya dan rakan rakan lain untuk akur kepada keputusan parti.

4) YB Azmin Ali, ADUN Bukit Antarabangsa yang turut dicalonkan, juga sudah secara terbuka mengatakan beliau mengikut keputusan parti dan beliau juga telah menandatangani SD menyokong YB Dato' Seri Wan Azizah Ismail. Jesteru itu tidak ada kewajaran bagi gesaan YB Rafizi. Beliau tidak perlu mempertikaikan kesetiaan saya dan rakan rakan lain kepada keputusan parti.

5) Kenyataan oleh Rafizi dilihat menghina semua ADUN KEADILAN Selangor dan amat tidak wajar bagi seorang naib presiden parti mengusulkan cadangan di media seperti itu.

6) Soalan saya, siapa Rafizi yang dilihat memaksa saya membuat itu dan ini? Jika beliau mempunyai cadangan yang difikirkan baik, bawalah ke dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) untuk kita bincangkan, perhalusi dan membuat keputusan.

8) Kenyataan YB Rafizi sebulan dua ini banyak merosakkan hubungan dalam Pakatan Rayat dan hari ini beliau melebarkan perbezaan pendapatnya dalam KEADILAN pula. Cara beliau memberikan gambaran bahawa hanya pendapat beliau seorang sahaja yang bernas dan beliau sahaja yang layak memberikan pendapat lalu dengan mudahnya memaksakan kepada orang lain. Ini sangat perlu dielakkan.

9) Saya fikir telah tiba masanya untuk Presiden parti dan Ketua Umum menegur cara melampau YB Rafizi. Tindakannya telah banyak memberi persepsi yang tidak baik pada Pakatan Rakyat secara keseluruhannya. Pandangan rakyat melihat beliau begitu beria-ia sangat memaksakan sambungan Langkah Kajang untuk diikuti oleh semua orang. Ini sangatlah dikesalkan. Kita mempunyai MPP sebagai pentas berbincang sebelum sesuatu keputusan dicapai dan melaksanakannya. Gunakanlah pentas itu.

10) Amaran saya kepada YB Rafizi, hentikan segera sikap tergopoh gapah beliau. Ia bakal menyerlahkan sikap sebenar seorang anak muda yang gelojoh dan mempunyai agenda peribadi dalam perlantikan menteri besar yang baru ini. Ia jelas mempamirkan sikap seorang yang angkuh dan bongkak. Hentikan segera tindak tanduk beliau yang semakin janggal ini.

11) Seharusnya beliau menutup mulut kerana 'Cerita Langkah Kajang' sudah melabuhkan tirainya. Tan Sri Khalid Ibrahim sudahpun umum berhenti dan meletakkan jawatan. Berilah ruang kepada pihak istana melakukan tugas terakhir mengikut undang undang tubuh negeri dengan teratur.

Shuhaimi Haji Shafiei
ADUN Sri Muda. 
29/08/2014