t>

Breaking News

Pecat Khalid Tindakan Yang Betul - DAP.


DAP mengalu-alukan keputusan mengejut PKR hari ini menyingkirkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dari parti itu kerana peluang secukupnya sudah diberikan kepada menteri besar Selangor itu.

PKR hari ini memecat Khalid kerana mengingkari keputusan parti yang mahu melantik Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai menteri besar Selangor yang baru.

"Saya berasakan ia satu langkah yang betul. Khalid sudah diberikan peluang untuk mempertahankan dirinya menerusi proses yang berkaitan.

"PKR mempunyai hak untuk mendisplinkan ahlinya," kata timbalan pengerusi DAP Selangor dan ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, ahli parlimen PAS Shah Alam Khalid Samad pula berkata PKR mempunyai hak untuk memecat ahlinya dan sewajarnya hal ehwal masalah dalaman parti itu tidak perlu dicampuri.

"PKR mempunyai hak untuk hak memecat ahlinya, itu hal dalaman mereka," kata ahli jawatankuasa (AJK) PAS pusat itu kepada The Malaysian Insider.

Beliau juga menghormati keputusan PKR itu.

"Saya hormati keputusan mereka, itu keputusan dalaman parti mereka."

Khalid juga berkata PKR sebelum ini tidak masuk campur dalam urusan PAS, memberi contoh pemecatan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), Datuk Dr Hasan Ali.

"Dulu masa kita ada masalah pecat Hasan Ali, PKR tidak masuk campur pun," katanya.

Khalid memberi bayangan kemungkinan pilihan raya negeri Selangor mungkin diadakan sekiranya kepimpinan PAS masih menyokong Khalid.

"Saya nampak lebih ke arah itu (pilihan raya).”

Mengenai pendirian PAS, Khalid berkata perlu menunggu keputusan daripada mesyuarat parti.

"Itu perlu tunggu mesyuarat," kata Khalid, apabila ditanya mengenai pendirian PAS dengan perkembangan terkini tersebut. -tmi-