t>

Breaking News

Surat terbuka kepada YB Azmin Ali.


“Iaitu mereka yang jika Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi, nescaya mereka mendirikan solat, menunaikan zakat, menyuruh berbuat kebaikan dan mencegah dari berbuat kemungkaran, dan (ingatlah) kepada Allah jualah kesudahan segala urusan.” (Al-Hajj: 41)
1. Amanah Rakyat.
YAB Mohamed Azmin Ali,
Tahniah di atas perlantikan sebagai Dato’ Menteri Besar Selangor yang ke-15.
Seluruh rakyat dan pencinta keadilan menaruh setinggi harapan. Kebajikan rakyat perlu diutamakan. Kemajmukan agama perlu diharmonikan. Teras pendidikan perlu diperkukuhkan. Pemilikan rumah perlu disegerakan. Krisis air harap diselesaikan.
Kekayaan negeri adalah untuk diwarisi, agar rakyat tidak rugi. Jangan sesekali memungkiri janji, kelak menyesal di kemudian hari.
2. Memperkukuh Muafakat.
Bersama buka lembaran baru, ke arah kesepakatan yang lebih jitu.
Jadikan yang berlaku sebagai teladan. Mandat rakyat jangan dipertaruhkan. Harapan rakyat jangan dipermainkan. Setiap langkah perlu dikonsesuskan. Agenda bersama jangan ditinggalkan.
Jadikan syura budaya di Selangor. Rakyat dirujuk untuk membuat keputusan. Rakan dirujuk untuk mendokong keputusan. Sultan dirujuk untuk perkenan keputusan.
3. Terus Beristiqamah.
Amanah kepimpinan amat berat. Perbanyakkan sabar, teguhkan tekad.
Jadikan istiqamah sebagai azimat. Terus beristiqamah dengan ilmu dan syariat. Teguh komited mengislah masyarakat. Kekal konsisten mengukuh muafakat.
Jadikan doa sebagai senjata, solat dan zakat jangan dilupa. Menyeru kebaikan tanggungjawab semua, basmi kemungkaran agenda bersama.
Semoga YAB diberikan kekuatan, memimpin Selangor maju ke hadapan. – HARAKAHDAILY 23/9/2014
- Syahir Sulaiman adalah Pengarah Kajian Polisi DPPM.