t>

Breaking News

Kenyataan Media PDRM Berkenaan Insiden Kekasaran Di SSA.

PIALA AFF SUZUKI: SEMBILAN DITAHAN INSIDEN PERGADUHAN


Terdapat dua insiden pergaduhan berlaku semasa perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF Suzuki, Malaysia menentang Vietnam di Stadium Shah Alam, Selangor, sabtu lalu.

Pergaduhan pertama dipercayai berpunca daripada perselisihan faham yang tercetus di antara penonton Malaysia melibatkan penyokong pasukan Perak dengan penyokong pasukan Johor.

Sehubungan itu, sebanyak sembilan (9) laporan polis dibuat setakat ini dan sembilan (9) orang telah ditangkap bagi membantu siasatan.

Bagi insiden kedua melibatkan penyokong Vietnam dipukul segelintir penyokong pasukan Malaysia seperti mana yang dilaporkan oleh pihak media, tiada sebarang laporan diterima dari mana-mana pihak setakat ini.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung insiden tersebut diminta tampil di mana-mana balai polis yang berhampiran untuk membantu pihak polis menjalankan siasatan dan mengenal pasti individu yang terlibat. Pihak polis akan meneruskan usaha mengesan mereka yang terbabit untuk dibawa ke muka pengadilan.

Tindakan segelintir penonton di luar batasan undang-undang ini jelas tidak mencerminkan budaya dan semangat kesukanan serta telah mencemarkan imej negara di mata dunia.

Masyarakat dinasihatkan untuk sentiasa menjaga tata susila serta mematuhi undang-undang yang ditetapkan ketika berada di stadium, terutamanya bagi perlawanan yang melibatkan pasukan dari luar negara, demi menjaga nama baik Malaysia.

ACP DATIN ASMAWATI BT AHMAD
Penolong Ketua Urus Setia KPN (Komunikasi Korporat)
Polis Diraja Malaysia

9 Disember 2014





Untuk rekod. Petang tadi PDRM juga mengedarkan wajah2 individu yang telah dikenalpasti melakukan keganasan di SSA. Polis meminta kerjasama orang ramai untuk memberikan maklumat berkaitan individu2 seperti dalam gambar di atas dan juga meminta individu2 yang gambarnya terpapar dalam gambar tersebut tampil ke balai polis untuk membantu siasatan.