t>

Breaking News

Adakah Tender PLKN Dapat Pada Kroni UMNO Soal PKR - Kos PLKN 612 Juta Bukan 400 Juta Dedah PKR.


PKR mempersoalkan sama ada penangguhan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang diumumkan baru-baru ini, menjejaskan kontrak pengangkutan RM165 juta yang diberikan kepada sebuah syarikat yang dikaitkan dengan pemimpin Umno.

Pengarah strategi sayap Pemudanya, Akmal Nasir berkata Gunung Capital Berhad memperoleh kontrak itu melalui anak syarikat GPB Corporation Sdn Bhd pada Disember lepas.

“Saya mendedahkan minggu lalu terdapat jurang perbezaan RM212 juta antara penjimatan melalui penangguhan PLKN tahun 2015 seperti yang diumumkan perdana menteri iaitu sebanyak RM400 juta, sedangkan anggaran perbelanjaan PLKN bagi tahun 2015 seperti yang dinyatakan dalam Bajet 2015 adalah RM612 juta,
" katanya dalam satu kenyataan hari ini.

“Adakah ini bermakna kerajaan akan menanggung kerugian RM212 juta kerana masih terpaksa membayar syarikat-syarikat kontraktor seperti Gunung Capital yang dianugerahkan kontrak RM165 juta walaupun PLKN 2015 ditangguhkan?"
Beliau juga bertanya sama ada ini punca mengapa Putrajaya enggan memansuhkan program PLKN seperti dicadangkan oleh banyak pihak termasuk pelobi pendidikan.

"Adakah keengganan kerajaan memansuhkan PLKN kerana syarikat-syarikat tertentu yang dikaitkan dengan pemimpin Umno dijanjikan kontrak bernilai jutaan ringgit selama tempoh kontrak melebihi setahun?"

Akmal berkata kontrak yang diberikan kepada Gunung Capital termasuk 416 bas bagi 82 kem PLKN bagi tempoh tiga tahun bermula 26 Disember 2014 hingga 25 Disember 2017, tetapi berkata ia tidak jelas bagaimana kontrak itu diberi dan jika nilainya setanding dengan perkhidmatan yang disediakan.

"Ini menimbulkan banyak persoalan, kerana maklumat yang diberikan menunjukkan Gunung Capital dipimpin oleh seorang pemimpin Umno – Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal – sebagai pengerusi eksekutif dan ketua pegawai eksekutif syarikat itu.

"Beliau juga merupakan ketua bahagian Umno Bukit Gantang, yang aktif di Perak," katanya.

Minggu lepas, Akmal menggesa Putrajaya memansuhkan terus PLKN berbanding menangguhkannya tahun ini, kerana yuran tahunan RM400 juta boleh dibelanjakan di tempat lain.

Beliau berkata Putrajaya membelanjakan RM5,283 pada setiap 832,712 pelatih yang menjalani program ini sejak 16 Februari 2004.

"Jumlah RM400 juta adalah kira-kira satu perempat atau satu perlima daripada pinjaman tahunan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Ia boleh menyediakan pinjaman pelajaran sebanyak RM15,000 kepada 25,000 pelajar universiti setiap tahun, "katanya.

Akmal berkata penangguhan PLKN adalah cara yang baik untuk mengurangkan perbelanjaan kerajaan, tetapi menambah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak perlu menjelaskan mengapa ia boleh menjimatkan 65% daripada belanja yang dianggarkan program.


"Adakah ini bermakna kerajaan akan membayar syarikat-syarikat seperti Gunung Capital sebanyak RM165 juta walaupun tiada perkhidmatan bas disediakan bagi 2015? Dan apa yang berlaku kepada lebihan RM212 juta bagi perbelanjaan yang dianggarkan?" soal beliau - TMI.