t>

Breaking News

ISIS Lancar Perang Jihad Di Semua Negara, PDRM Dalam Langkah Berjaga-Jaga.


Satu arahan baru-baru ini daripada pemimpin Kumpulan Negara Islam Iraq dan Syria (Isis) kepada pengikutnya di seluruh dunia – untuk melancarkan perang suci di negara masing-masing, meletakkan polis Malaysia dalam keadaan berjaga-jaga.

Pemimpin Isis, Abu Bakr Al-Baghdadi memberitahu penyokongnya, selain menyertai perjuangan mereka di Timur Tengah, mereka perlu melancarkan perang suci di negara sendiri, satu pengumuman yang disebarkan secara meluas di Internet.

Pihak berkuasa di sini tidak memandang enteng pengumuman tersebut berikutan pembunuhan beramai-ramai Charlie Hebdo di Paris, Perancis pada Rabu lepas.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein pada Jumaat memberi amaran serangan keganasan terhadap majalah satira Perancis yang menyebabkan 12 kematian itu boleh berlaku di Malaysia.

Media melaporkan Hishammuddin sebagai berkata, beliau sudah berbincang dengan agensi perisikan di Paris dan London bulan lalu, dan tembakan di pejabat Charlie Hebdo Paris pada Rabu itu bukanlah tidak dijangka.

Hishammuddin dilaporkan berkata, Malaysia perlu meningkatkan langkah-langkah keselamatan, terutamanya di kawasan pantai Sabah yang sebelum ini dicerobohi militan dari selatan Filipina.

Sumber polis memberitahu The Malaysian Insider, pelampau agama di Malaysia boleh menyebabkan insiden di Paris berulang di sini disebabkan sesetengah individu yang sesat dan menyimpang.

“Jika mereka berasa Islam dalam ancaman di Malaysia atau mereka rasa kepercayaan mereka diancam, individu-individu ini mungkin menggunakan kekerasan dan radikal untuk mempertahankan Islam.

“Ia tidak mengambil masa lama untuk individu fanatik bersenjatakan parang untuk mengamuk di kawasan pinggir bandar yang sibuk,” kata sumber kepada The Malaysian Insider.

Sumber itu berkata Isis merupakan ancaman yang jauh lebih dahsyat pasukan keselamatan Malaysia pernah hadapi sepanjang pertempuran mereka menentang aktiviti militan dan pelampau di negara ini.

“Pada masa lalu, apabila pihak berkuasa menahan militan-militan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri, ia memaksa sebahagian besar ahli-ahli lain untuk menyembunyikan diri dan bersikap tidak menonjolkan diri.

“Bagaimanapun, meskipun banyak tangkapan dan pendakwaan penyokong Isis dan simpatisan, masih ramai rakyat Malaysia menunggu untuk menyertai Isis di Timur Tengah.”

Sumber itu berkata perbezaan utama antara Isis, al-Qaeda dan Jemaah Islamiyah (JI) dan Kumpulan Militan Malaysia (KMM) ialah kepercayaan mereka.

“Kekuatan dan keyakinan dan kepercayaan dalam ideologi Isis adalah senjata ampuh yang dibanggakan kumpulan militan ini,” kata sumber itu.

Menurut sumber, walaupun KMM tidak lagi aktif, beberapa bekas ahli meneruskan kecenderungan militan mereka dan menyertai Isis.

“Sebahagian mereka berada di Timur Tengah berjuang untuk perang suci dalam menentang orang-orang kafir dan kufur,” kata sumber itu.

Sumber itu berkata, walaupun pihak berkuasa setakat ini bertindak selangkah ke hadapan menghadapi militan dan penyokongnya di Malaysia, ia akan membawa maut jika mereka mudah berpuas hati.

“Satu kesilapan boleh menyebabkan kematian yang banyak dan panik yang meluas,” kata sumber itu memberi amaran.

Sumber itu memberi contoh satu kes di Gurun, Kedah baru-baru ini di mana tiga orang lelaki terbunuh ketika cuba memotong bahan letupan anti kereta kebal berkuasa tinggi.

“Ketiga-tiga mereka cuba memotong ke dalam bahan letupan anti kereta kebal berkuasa tinggi tersebut untuk mendapatkan tembaga di dalamnya untuk dijual pada besi buruk,” dedah sumber.

“Tetapi yang masih menjadi tanda tanya adalah bagaimana suspek berjaya mendapatkan bahan letupan anti kereta kebal tersebut. Bagaimana sekiranya militan yang berjaya mendapatkannya?”

Justeru, pihak berkuasa turut memantau pasukan pertahanan Malaysia sekiranya antara mereka merupakan penyokong atau simpatisan.

Seorang bekas komando Malaysia baru-baru ini ditahan pihak berkuasa Arab Saudi bulan lepas kerana terlibat dalam aktiviti keganasan.

Sumber itu berkata komando itu mahir membuat dan meledakkan bom, dan dipengaruhi menyertai Isis.

Pada Sabtu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menggunakan kejadian Charlie Hebdo sebagai justifikasi untuk mengekalkan Akta Hasutan 1948.

Khalid berkata beliau mahu rakyat Malaysia mengambil pengajaran daripada insiden tersebut kerana ia menunjukkan Akta Hasutan 1948 perlu dikekalkan bagi mengelakkan serangan seperti itu berlaku di Malaysia.

“Ambillah iktibar kejadian di Paris. Itulah sebabnya kita perlukan Akta Hasutan dan @PDRMsia tidak akan membiarkan penghasut agama,” katanya di Twitter.

“Serangan di Paris – undang-undang seperti Akta Hasutan pasti akan membantu @PDRMsia mencegahnya dari awal sebelum ia menjadi lebih teruk. Fikir sebelum cakap,” katanya. – MI