Najib Perlu Ubah Gaya Hidup, Dana Untuk JPM Keterlaluan, DAP Desak Lantik Menteri Kewangan Yang Baru.


Kerajaan di desak potong dana melampau Jabatan Perdana Menteri

KUALA LUMPUR, 18 JAN: Kerajaan perlu memotong ‘dana istimewa’ dalam bidang kuasa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berjumlah RM7 bilion dan bukannya mengurangkan perbelanjaan sosial ke atas penstrukturan semula Belanjawan 2015.
Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong berkata, kerajaan juga harus melantik Menteri Kewangan sepenuh masa yang boleh memberikan dedikasi kepada pengurusan dana dan ekonomi negara.

Menurutnya, penurunan harga minyak global yang menyebabkan pemotongan mendadak pendapatan kerajaan juga menunjukkan betapa perbelanjaan harus dikurangkan.

“Persoalannya kini dana manakah yang akan dipotong. Sebagai permulaan, tidak boleh ada pemotongan untuk pendidikan, kesihatan, kebajikan dan perbelanjaan sosial lain.

“Apa yang harus dipotong adalah ‘dana istimewa’ yang bukan sahaja diberikan kepada Jabatan Perdana Menteri (JPM) tapi Kementerian Kewangan, ” kata Chin Tong dalam satu kenyataan, hari ini.

Pengarah Pendidikan Politik DAP itu menegaskan, terdapat tujuh projek di bawah dana pembangunan yang diperuntukkan secara keterlaluan untuk Jabatan Perdana Menteri.

Projek itu adalah Program Kemiskinan bagi Semenanjung/Sabah/Sarawak (RM160 juta), Program Pembangunan (RM1.1 bilion), Projek Mesra Rakyat (RM670 juta), Dana Fasilitasi (RM2.5 bilion), Projek Kecil (RM300 juta) dan Projek Khas (RM1.6 bilion).

“Senarai-senarai ini melibatkan wang pembayar cukai sebanyak RM7.08 bilion, jauh melebihi bayaran BR1M.

“Sebab itu, sebarang pemotongan perlu dimulakan dari ‘dana istimewa’ Perdana Menteri termasuk menguatkuasakan perubahan gaya hidup untuk Najib dan keluarganya.
“Kita juga memerlukan seorang menteri kewangan sepenuh masa yang baru dengan pengetahuan mendalam dalam bidang ekonomi dan mempunyai kuasa cukup untuk membuat keputusan bermaklumat serta berpengetahuan,” tegasnya.

Menteri Kewangan kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah sebelum ini menyatakan Najib akan mengumumkan penstrukturan semula Belanjawan 2015 pada 20 Januari ini.

Katanya, penstrukturan semula itu dibuat sebagai usaha untuk menangani kemerosotan nilai ringgit dan penurunan harga minyak. – Roketkini

Share this :

Previous
Next Post »