Pampasan 2.6 Juta Kepada 8 Pembantu Bekas MB Selangor Perlu Dipulangkan Semula Kata Azmin.


MB: Lapan pembantu mantan MB diarah kembalikan RM2.6 juta


Pengurusan baru Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) mengarahkan lapan orang pembantu yang menerima bayaran pampasan sejumlah RM2.6 juta ketika pentadbiran Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk memulangkan wang itu semula, kata Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali.
Beliau berkata, siasatan MBI mendapati beberapa kesalahan yang melanggar tatacara kewangan dalam pembayaran pampasan atau "golden handshake " itu, menyebabkan pihak terbabit perlu memulangkan kesemua wang berkenaan dalam tempoh 14 hari.

Azmin berkata notis arahan tersebut sudah dikeluarkan dan akan dihantar kepada lapan pihak terbabit, termasuk kepada bekas setiausaha akhbar Khalid, Arfa'eza Abdul Aziz yang dilaporkan menerima bayaran RM358,000 dan RM55,000 sebagai ganti kepada notis tiga bulan.

"Pihak pengurusan sudah pun memaklumkan kepada saya yang surat akan dihantar kepada semua, untuk mereka kembalikan wang yang sudah dibayar kerana didapati beberapa perkara melanggar tatacara dan peraturan kewangan.

"Maka setelah mendapat nasihat pihak peguam, pengurusan baru memutuskan menghantar surat kepada mereka memberi peringatan untuk kembalikan wang yang dibayar, katanya kepada pemberita selepas program Sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri di Stadium Malawati, Shah Alam hari ini.

Pendedahan pemberian RM2.6 juta pampasan atau "golden handshake" yang diberikan kepada pembantu Khalid November lepas mengejutkan ramai pihak kerana bekas menteri besar itu sebelum ini dikenali sebagai pemimpin yang telus dalam menguruskan kewangan.

Dalam dokumen yang dilihat The Malaysian Insider, RM2.27 juta dibayar sebagai pampasan, berserta RM376,000 sebagai ganti kepada notis tiga bulan dikatakan dibayar kepada lapan pembantu Khalid.

Difahamkan, bayaran tersebut diluluskan Khalid yang juga ahli lembaga MBI, serta empat ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) PAS pada 22 September, salah satu tindakan akhirnya sebagai menteri besar.

Azmin berkata lagi, MBI juga akan meneliti semula jumlah pampasan baru terhadap lapan bekas pembantu tersebut setelah wang tersebut dikembalikan.

"Ini merupakan keputusan pengurusan baru, namun mereka tetap akan dibayar ikut peruntukan sedia ada.

"Tetapi, seperti saya kata tadi, pembayaran yang dibuat dengan jumlah besar jelas melanggar tatacara dan peraturan kewangan, serta melanggar syarat kontrak yang mereka setujui sebelum ini. Jadi, wang itu harus dikembalikan," katanya.

Beliau berkata kerajaan tetap akan memberi tempoh kepada lapan pihak berkenaan untuk meneliti notis arahan dan sekiranya mereka ingkar, MBI tidak akan teragak-agak mengenakan tindakan susulan.

"Sekiranya tidak mengikuti apa yang diarahkan, sudah tentu ada tindakan diambil, namun MBI beri peluang mereka yang berkenaan meneliti semula surat tersebut," katanya yang tidak menjelaskan lebih lanjut bentuk tindakan susulan itu.

Dokumen bayaran pampasan tersebut menunjukkan jumlah terbesar bayaran tersebut diberi kepada Faekah Husin, bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) MBI.

Beliau didakwa menerima RM581,400 sebagai pampasan dan RM114,000 sebagai ganti kepada notis tiga bulan.

Setiausaha politik Khalid, Mustapa Mohd Talib didakwa dibayar RM265,000.


Selebihnya didakwa dibayar antara RM97,000 dan RM230,000 masing-masing sebagai pampasan dan di antara RM18,000 dan RM69,000 sebagai ganti kepada notis tiga bulan mereka. – TMI

Share this :

Previous
Next Post »