t>

Breaking News

Peguam Kepada Azilah Hadri, Pembunuh Altantuya Akan Memohon Pengampunan Dari Sultan Selangor.


Memetik laporan dari TMI, Ketua Inspektor Azilah Hadri, salah seorang daripada dua bekas komando yang dijatuhkan hukuman gantung sampai mati kerana membunuh warga Mongolia Altantuya Shaariibuu akan memfailkan permohonan untuk mendapatkan pengampunan secepat mungkin.

Peguamnya Datuk Hazman Ahmad berkata beliau akan berjumpa anak guamnya pada minggu depan bagi mendapatkan arahan seterusnya sebelum menulis surat kepada peguam negara.

"Selain daripada proses undang-undang, ia merupakan hak Perlembagaan seorang pesalah untuk menulis kepada pihak berkuasa supaya dimaafkan daripada jenayah yang mereka lakukan," kata Datuk Hazman Ahmad kepada pemberita.

Hazman berkata pihaknya akan meneruskan tanpa berlengah lagi walaupun seorang lagi pesalah Korporal Sirul Azhar Umar berjaya melarikan diri ke Australia bagi mendapatkan perlindungan.


Sirul dan Azilah bebas sejak 23 Ogos, 2013 apabila Mahkamah Rayuan mengetepikan hukuman bunuh mereka.

Bagaimanapun, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan bersalah mereka dan menjatuhkan hukuman mati kepada kedua-keduanya pada minggu lepas.

Walaupun dengan sabit kesalahan, motif pembunuhan Altantuya masih tidak diketahui sehingga kini.

Sirul ke Australia pada Oktober tahun lepas dan tidak hadir ke Mahkamah Persekutuan semasa hakim membacakan keputusan mereka berdua disabitkan bersalah kerana membunuh.


Sirul dilaporkan ditahan di Brisbane, Australia 3 hari lepas oleh media Australia sejurus Interpol mengeluarkan notis merah susulan dari tindakan PDRM yang memburu Sirul dan pihak berkuasa Malaysia sudah pun membuat permohonan rasmi supaya Sirul diekstradisi ke Malaysia.

Bagaimanapun, undang-undang Australia menyatakan seorang yang berdepan dengan hukuman mati di negara asalnya tidak boleh diekstradisi.

Sirul dilaporkan dibebaskan pihak berkuasa Imigresen Australia, tetapi pasportnya ditahan.

Peguam Sirul dijangka akan memfailkan cabaran undang-undang ke atas mana-mana cubaan untuk mengekstradisi Sirul dan pakar undang-undang berpendapat, proses ini akan memakan masa yang lama.

Sementara itu, Hazman berkata akan menulis kepada Peguam Negara untuk mendapatkan pengampunan bagi anak guamnya yang kini ditahan di Penjara Sungai Buloh.

"Peguam Negara akan membentangkan kertas cadangannya ke Lembaga Pengampunan Selangor yang akan dipengerusikan Sultan" katanya dan menambah perkara itu akan dirujuk kepada Sultan kerana jenayah berlaku di dalam negeri.

Perlembagaan Persekutuan menyatakan yang lembaga tersebut perlu mempertimbangkan pendapat bertulis Peguam Negara sebelum menasihati pemerintah negeri.

Peguam M Visvanathan berkata, Sultan mempunyai budi bicara penuh untuk seorang penjenayah memohon pengampunan daripada hukuman mati.

"Kebiasaannya hukuman mati akan diturunkan kepada penjara seumur hidup sekiranya pengampunan diberi," tambahnya.