t>

Breaking News

Perginya Seorang Sukarelawan Banjir Akibat Dilanggar Kenderaan Lain..


Kuala Lumpur: Ketika nazak jari telunjuknya terangkat seperti mengucap dua kalimah syahadah dan pada masa sama dalam perjalanan membuat kebajikan dengan membantu mangsa banjir.

Itu pengakhiran riwayat Allahyarham Zamani Zakaria, 34, yang meninggal dunia akibat dilanggar sebuah kenderaan ketika menukar tayar lori dipandunya yang bocor di Kampung China, Jalan Paloh Rawa, Machang, Kelantan pada 3.30 petang, Sabtu lalu.

Ketika itu dia bersama lebih 20 peserta konvoi ‘Kelantan Wishers Community’ (KWC) melaksanakan misi bantuan banjir ke Kelantan.

Menurut Adam Hamid, 40, yang turut menyertai konvoi itu, dia sendiri melihat Zamani terbaring dalam keadaan jari telunjuk terangkat selepas terbabit kemalangan.

“Ketika itu saya memanggil namanya, tetapi tidak bersahut. Arwah dibantu orang ramai yang menghantarnya ke hospital menggunakan sebuah kenderaan pacuan empat roda, tetapi meninggal dunia pada 4.40 petang (Sabtu) ketika dalam perjalanan untuk ke Hospital Tanah Merah, Kelantan,” katanya ketika .

Terdahulu, Adam yang juga pengarah drama memuat naik foto rakannya itu di Facebook dan mengucapkan takziah selain meminta orang ramai mendoakan arwah sehingga menjadi ‘viral’ hari ini.

Menurut Adam, arwah menyatakan hasrat untuk menyertai konvoi pada saat akhir iaitu selepas solat Jumaat sebelum berangkat pada awal pagi.

"Kami berkumpul di di Gombak dan memulakan perjalanan sekitar jam 2.30 pagi (Sabtu). Arwah juga beriya-iya mahu memandu sebuah lori daripada tiga buah kesemuanya.

"Kami menaiki tiga lori dan lebih empat kenderaan pacuan empat roda membawa bekalan makanan termasuk beras, minyak, gula dan pakaian untuk diagihkan kepada penduduk di sekitar Kuala Krai, Manek Urai, Tanah Merah dan daerah lain yang terjejas akibat banjir,” katanya.

Allahyarham juga ada meninggalkan kata-kata terakhir apabila tidak lagi kempunan untuk makan nasi ayam kegemarannya.

Adam berkata, arwah sempat makan nasi ayam selepas kecewa hasratnya untuk menikmati makanan itu tidak kesampaian ketika berhenti seketika di Benta, Pahang.

“Pada 4 pagi (Sabtu), dalam perjalanan menuju ke Kelantan, kami berhenti untuk makan di sebuah gerai nasi ayam di Benta, Pahang, tetapi apabila nak duduk di meja makan dan membuat pesanan, pekerja di gerai itu memaklumkan nasi ayam sudah habis dan kami pesan menu lain.

“Setibanya di Kampung China, Machang, arwah ada memaklumkan mahu makan nasi ayam dan dia dapat menikmati makanan itu dan sempat menyebut ‘hilang kempunan aku nak makan nasi ayam, ini baru dapat makan’," katanya.

Menurut Adam, arwah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam berhampiran kediaman keluarganya di Taman Maju, Kota Bharu, pada 12.30 tengah hari, Ahad lalu.

Katanya, arwah meninggalkan balu, Nurhikmah Mohd Zuki, 30, yang mengandung enam bulan dan lima anak berusia 13 hingga empat tahun.

“Kini, kini berusaha mengumpul dana untuk membiayai kehidupan isteri dan lima anak arwah yang masih bersekolah.

“Arwah seorang bapa dan suami seorang yang baik hati dan mudah mesra dengan orang lain," katanya.

Sementara itu, penceramah bebas , Ahmad Tajuddin Al Manhaji berkata, mudah-mudahan arwah meninggal dunia dengan penamat yang baik dan mendapat husnul khatimah.

“Arwah meninggal dunia dalam keadaan bermusafir untuk membantu mangsa bencana banjir di Kelantan,” katanya. -HM-