ASTRO Berhentikan 52 Kakitangan.


Pemberhentian kerja 52 petugas Astro Productions Sdn Bhd (APSB) baru-baru ini adalah perlu untuk memastikan struktur optimum bagi daya maju perkhidmatan produksi.
  
"Semua proses dipatuhi dan semua kakitangan terlibat telah diberi pampasan dan diberi pengiktirafan atas tahun perkhidmatan mereka," kata Naib Presiden Kanan Penyiaran dan Operasi APSB, Rohaizad Mohamed dalam e-mel kepada Bernama semalam.
  
Beliau berkata APSB komited untuk menyediakan kepada pekerja yang terlibat sokongan bagi kerjaya peralihan.
  
APSB dilaporkan telah memberi notis 24 jam dengan tiga bulan gaji sebagai pampasan bagi kakitangan yang terlibat pada 30 Jan lepas.
  
Menurut seorang anggota Kesatuan APSB, yang tidak mahu namanya disiarkan, tindakan syarikat adalah selaras di bawah prasyarat Jabatan Perhubungan Perusahaan Kementerian Sumber Manusia kerana kakitangan terlibat telah diberi notis dan pampasan yang adil.

Bekas pekerja APSB, Abdul Halim Manan, 44, berkata pampasan yang ditawarkan kepadanya adalah wajar kerana dia telah berkhidmat selama 18 tahun dengan syarikat.
  
Bagaimanapun, bukan mudah bagi pembantu pengarah pencahayaan untuk mendapat pekerjaan yang baharu lebih-lebih lagi, dia perlu menyara isteri dan empat orang anak.
  
Seorang lagi pekerja yang hanya mahu dikenali sebagai Marry, 42, berkata, dia masih terkejut dengan perkembangan itu dan tidak dapat membayangkan bagaimana keluarganya akan menyambut Tahun Baharu Cina nanti.
  
"Ia adalah sukar bagi saya untuk menyatakannya kerana semuanya berlaku secara tiba-tiba," kata beliau.
  
Sementara itu, Presiden Majlis Perhubungan Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC), Mohamed Shafie BP Mammal, dalam satu kenyataan, berkata pihak kesatuan menerima aduan dan semua kesatuan dalam APSB sedang membincangkan perkara itu dengan Jabatan Perhubungan Perusahaan dalam usaha mencari penyelesaian.
  
-Bernama 

Share this :

Previous
Next Post »