Bantuan Mangsa Banjir Untuk Orang Asli Dicuri !!!!


Memetik laporan TMI, terdapat beberapa pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan atas kesulitan mangsa banjir.

Satu dakwaan barangan keperluan makanan yang sepatutnya diagihkan kepada mangsa banjir tidak diterima mereka seperti yang sepatutnya apabila sebahagian daripada sumbangan berkenaan "dilarikan" mereka yang tidak bertanggungjawab.


Perkara itu dilaporkan kepada wartawan TMI oleh sukarelawan yang bertugas menghantar bantuan untuk mangsa banjir khususnya bantuan kepada perkampungan orang asli.
 

Apa yang berlaku ialah misi bantuan pasca banjir pertubuhan sivil ke perkampungan Orang Asli suku Temiar di kawasan Gua Musang, Kelantan pada semalam telah dicemari dengan insiden "rompakan" apabila bantuan beras didakwa dilarikan pihak tertentu.

Menurut jurucakap kumpulan sukarelawan, Siti Zabedah Kassim, seorang peguam hak asasi manusia daripada Majlis Peguam, lori dengan muatan 3 tan yang digunakan mengangkat barangan keperluan harian untuk diagihkan di sekitar 20 perkampungan orang asli di pedalaman negeri itu hilang bersama muatan mereka, lapor TMI.

Insiden berkenaan dipercayai berlaku ketika salah sebuah daripada 8 lori yang digunakan untuk mengangkut barangan keperluan harian seperti beras, gula, sardin, biskut, dan banyak lagi, bernilai lebih RM50,000, sumbangan daripada syarikat Allianz Malaysia dan individu persendirian, dari Kuala Lumpur ke Gua Musang tidak tiba seperti yang dijadualkan.


Dia difahamkan oleh penduduk orang asli di Kampung Parek, 7 lori tiba di Gua Musang sekitar jam 12 tengah malam, dan ketika di kawasan perkampungan yang dijadikan pusat pengumpulan sebelum bekalan diagihkan ke kampung berdekatan kira-kira sejam kemudian, sebuah lori bersama muatan beras tiada di lokasi.

"Mereka memaklumkan saya sebuah lori tiada di Kampung Parek, sedangkan kesemua lori itu tiba di Gua Musang," kata Siti kepada TMI seperti yang dipetik dalam laporan berkenaan.


Tambah Siti lagi, pemandu lori yang menghantar barangan makanan kepada penduduk orang asli tersebut turut mengambil sumbangan yang diberikan orang ramai atas alasan masyarakat orang asli berkenaan "sudah mempunyai banyak stok makanan".

"Perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku, penderma semua perlu pastikan barangan yang didermakan mereka sepatutnya tiba ke kawasan mangsa banjir," katanya.

Malah, turut timbul dakwaan beberapa pihak yang tidak bertanggungjawab menyimpan stok bantuan kepada mangsa banjir dan tidak mengagihkan bantuan makanan berkenaan kepada penduduk orang asli yang terjejas banjir.


Keadaan perkampungan orang asli di pedalaman Gua Musang didapati masih lagi terbiar dengan sebahagian daripada mereka kini mula membina pondok di kawasan bukit apabila kediaman mereka tidak lagi boleh digunakan.

Selain menggunakan khemah dan kanvas, mereka yang terjejas juga turut menggunakan buluh untuk membina pondok kediaman sementara menunggu kediaman mereka boleh diduduki semula.

Sukarelawan misi bantuan banjir juga terpaksa menggunakan kenderaan pacuan roda (4WD) dan helikopter untuk memasuki kawasan kampung terpencil kerana kemudahan jalan perhubungan terjejas akibat banjir.

Terdapat sebahagian kawasan perkampungan penduduk orang asli juga tidak mempunyai pilihan lain selain menantikan bantuan dan sumbangan makanan daripada pihak luar apabila sumber makanan dan tanaman mereka musnah dilanda banjir seperti yang dipetik dalam laporan berkenaan.

Share this :

Previous
Next Post »