t>

Breaking News

Nazir Razak Cadang Saman Blogger Atas Artikel Fitnah.


Datuk Seri Nazir Razak sedang mempertimbangkan menyaman blogger tidak dikenali dengan nama “ahrily90” yang terbongkar sebagai dalang di sebalik serangan tidak berasas terhadap ahli perbankan dan individu lain.

Pengerusi Kumpulan CIMB berkata beliau dengan isterinya diserang sejak awal tahun lepas sebaik sahaja artikelnya “Remembering my father, Tun Razak” diterbitkan 14 Januari dan selepas memberikan komen tentang syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang berhutang besar.


Walaupun sudah lama sedar tentang serangan daripada “ahrily90” sejak beberapa bulan, yang disifatkannya sebagai penipuan dan fitnah menyakiti keluarganya, Nazir mengatakan tidak dapat mengambil tindakan kerana tidak dapat mengenalpasti identiti individu sebalik blog tersebut.


"Saya dapati daripada kenyataan media Datuk Tong Kooi Ong pada 6 Februari yang beliau mempunyai rangkaian bukti yang mengecam identiti ‘ahrily90’, orang di sebalik serangan ini," katanya merujuk kepada pemilik The Edge Media Group yang turut diserang blogger tersebut.


"Jika ini betul, sebaik saya menilai buktinya, saya akan memulakan prosedur sivil dan jenayah terhadap mereka. Saya juga akan menyiasat mana-mana jalan yang boleh diambil bagi jenayah fitnah terhadap mereka yang bawah umur," katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Adik kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak itu berkata, tindakan yang boleh diambil berdasarkan sepenuhnya atas premis melindungi bukan sahaja reputasinya, tetapi juga isteri dan anak-anaknya daripada serangan blog seperti itu.


"Azlina dan saya amat bimbang dan tertekan kerana tuduhan fitnah terhadap kami termasuk anak-anak yang tidak bersalah, satu tindakan yang – pasti dipersetujui mana-mana ibu-bapa – melanggar etika kemanusiaan," tambahnya.


The Edge Financial Daily melaporkan pada Selasa yang blogger ahrily90 mempunyai dua blog yang menyerang Nazir: kamibukanbodohtau.wordpress.com dan corruptednazirrazak.wordpress.com.


Blogger tersebut juga menulis di blog malaysianexpose.wordpress.com dan merupakan dalang di sebalik serangan terhadap Tong dan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, sementara menulis blog yang memuji ahli perniagaan Low Taek Jho.


Yang turut terkena dengan serangan-serangan ini adalah The Edge kerana sebelum ini mendedahkan tentang pelaburan strategik 1MDB, yang dikritik secara terbuka oleh Dr Mahathir dan berpendapat ia patut ditutup.


Dua lagi blog kronismemahathir.wordpress.com dan politikukus.wordpress.com berjalan sejak pertengahan tahun 2014. Blog-blog tersebut mulai menyerang Dr Mahathir Julai lepas.


Blogger yang sama juga menulis di 3 lagi blog yang memuji 1MDB dan Jho Low:
bisnes2malaysia.wordpress.com, todayinbusiness.wordpress.com dan worldofcorporate.wordpress.com.


Bagaimanapun, Low yang dikenali sebagai Jho Low, menafikan penglibatan dengan serangan terhadap 3 personaliti tersebut. – TMI.