Pemimpin UMNO Mahu SKMM Bertindak Ke Atas Portal Malaysiakini, The Malaysian Insider & FMT Kerana Melaga2kan UMNO.


Team Mahathir VS Team Najib fakta bukan auta. 

------------------------------
 
Tidak ada yang lebih lucu daripada membaca berita seorang pemimpin Umno menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil tindakan ke atas The Malaysian Insider, Malaysiakini dan Free Malaysia Today kerana dikatakan melaga-lagakan parti Melayu itu.

Menurut Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, ketiga-tiga portal berkenaan berperanan sebagai “batu api” dan mengambil pendekatan baharu untuk dijadikan senjata yang boleh mencetuskan krisis dalaman partinya.


Bekas timbalan menteri itu berkata, ketiga-tiga portal ini mempunyai agenda bersama melagakan pemimpin Umno kerana cubaan mereka sebelum ini menyerang dari luar parti itu seperti memainkan isu sensitif seperti agama dan perkauman, termasuk mendakwa pilihan raya umum lalu tidak telus sehingga tercetus demonstrasi Bersih, tidak berjaya.
Katanya tindakan ketiga-tiga portal itu secara jelas boleh menghasut rakyat membenci pemimpin dan pada masa sama mempengaruhi ahli Umno berpecah-belah.

Puad sebelum ini melibatkan diri secara langsung dalam “peperangan” dalam Umno di antara penyokong Datuk Seri Najib Razak dan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Puad menyerang Dr Mahathir secara terbuka malahan pernah mengeluarkan kenyataan kepada The Malaysian Insider berhubung kemarahannya terhadap bekas perdana menteri paling lama berkhidmat itu.

“Umno wujud dari dahulu lagi dan terpalit dengan pelbagai masalah sejak Dr Mahathir menerajui Umno dan beliau tidak pula merawat kecederaan itu,” beliau dilapor berkata pada September 2013.


Baru-baru ini juga, Puad lantang menkritik Dr Mahathir sehingga dijawab bekas presiden Umno itu dalam blog popularnya Chedet. Mungkin juga sekarang ini apabila menyedari Najib sukar dipertahankan sebagai perdana menteri dan ingin menyelamatkan diri, bekas ahli Parlimen Batu Pahat itu mencari “kambing hitam”.


Dari satu segi, Puad mengiktiraf pengaruh The Malaysian Insider, Malaysiakini dan Free Malaysia Today walaupun partinya terus menyekat wartawan mereka daripada membuat liputan sidang akhbar atau perhimpunan agung parti.


Apabila bocor berita tokoh korporat T Ananda Krishnan dikatakan bersetuju meminjam sehingga RM2 bilion kepada 1Malaysia Development Bhd (1MDB) sebagai bantuan menyelesaikan hutang syarikat kontroversi itu kepada Malayan Banking Bhd (Maybank) dan RHB Bank Bhd, perkembangan semakin menarik sedang berlaku.
Inilah yang mungkin ditakutkan Puad sehingga perlu mencari kambing hitam menyelamatkan dirinya.


Suntikan RM2 bilion itu menjadikan Ananda pemegang saham majoriti dalam Powertek Investment Holdings Sdn Bhd (PIH), berdasarkan penilaian terkini. Dalam erti kata lain,1MDB akan hilang pemilikan PIH ke tangan Ananda yang dikenali sebagai “orang Dr Mahathir”.


Ekonomi Malaysia semakin gawat. Nilai ringgit semakin merudum dan perang dalaman Umno tidak akan berhenti sehingga salah satu kumpulan kalah atau dikuburkan.
Krisis ekonomi Asia pada 1997 menyaksikan Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang pada ketika itu timbalan perdana menteri dan timbalan presiden Umno yang berpengaruh, terkorban.
Krisis ekonomi kali ini, sekali lagi nama Anwar muncul, cuma bezanya kini ketua umum PKR itu tidak berada dalam kerajaan walaupun masih memainkan watak penting dalam politik Malaysia.


10 Februari ini, nasib Anwar akan ditentukan Mahkamah Persekutuan, sama ada bersalah atau dibebaskan daripada tuduhan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 2008. Keputusan yang bakal dikeluarkan berkait rapat dengan peperangan dalaman parti Melayu terbesar itu.


Pembebasan Anwar akan menguntungkan salah satu kumpulan yang berperang dalam Umno, begitu juga jika keputusan mahkamah sebaliknya.


Pendek kata, keputusan berhubung kes Anwar ini boleh dilihat sebagai keputusan peperangan di antara dua kumpulan dalam Umno pada ketika ini. -TMI

Share this :

Previous
Next Post »