Pendedahan Mesti Baca - Guru Ini Mahu Bunuh Diri Kerana Tekanan Tugas - Guru Banyak Kerja, Menteri Banyak Songeh.


Guru makan guru. Apabila institusi pendidikan dijadikan perniagaan bagi meraih keuntungan dan pendapatan berlipat ganda. Bukan hanya melibatkan SJKT semata-mata bahkan sekolah kebangsaan ka, sekolah agama ka pun macam tue juga. Aku tak buat citer tipu. Kau semua boleh check beza prasarana sekolah bandar dan sekolah luar bandar, sekolah cemerlang dan sekolah tidak cemerlang. Di Malaysia kita neh macam pelik sikit. Semakin cemerlang satu2 sekolah tue, semakin banyak peruntukan yang dorang dapat. Kadang2 peruntukan tue dorang tak perlu pun. Semakin teruk prestasi satu2 sekolah tue semakin apa-apa mereka takan dapat padahal sekolah2 yang prestasi teruk neh la kau kena turun padang laju2 dan bantu lengkapkan apa yang kurang. Apa yang berlaku ialah pentadbiran sekolah kena pressure, pressure itu pula dialihkan kepada guru, guru2 plak alihkan pada pelajar. Mampos la macam neh. 

Itu tak masuk lagi dengan beban tugas guru. Belum pernah lagi aku jumpa 1 cikgu samada yang mengajar di sekolah rendah atau menengah yang tak merungut isu beban kerja. Beban dan tekanan semakin bertambah. Kadang2 sampai satu tahap, mereka hanya masuk kelas dan mengajar tanpa peduli samada murid2 nak dengar ke nak bising ke apa ke disebabkan tekanan melampau yang dihadapi. Sampai sekarang pembantu guru yang dijanjikan oleh Muhyiddin tak wujud2. Apa dah jadi?

Sistem pendidikan Malaysia memang bermasalah disebabkan sistem yang kita gunapakai dan ini ialah salah satu contoh masalah yang berlaku dalam sistem pendidikan negara. Kita perlu peduli dan peka kerana kita la yang perlu bertanggungjawab untuk lakukan perubahan.

Baca.

Part 1. Kerana tekanan, guru SJKT cuba bunuh diri.

Benarkah tekanan kerja serta “penderaan” mental oleh guru besar Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) menyebabkan ada guru bertindak nekad mahu membunuh diri?
Persoalan ini muncul dalam minda selepas tersebar berita kononnya seorang guru di sebuah SJKT di Johor cuba mengambil nyawa sendiri dengan meminum racun.
Beberapa orang — khususnya guru-guru SJKT — menghubungi saya untuk berkongsi maklumat mengenai kes tersebut serta beberapa kes seumpama itu.
Secara umum, apa yang didapati adalah bahawa kebanyakan guru tidak tahan dengan penderaan mental yang diberikan oleh guru besar; sebagai tambahan kepada beban kerja yang terpaksa ditanggung atas arahan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Program New Deal (Tawaran Baru atau Bai’ah) yang menjanjikan “habuan” besar kepada guru besar dikatakan menyebabkan kebanyakan guru besar SJKT lupa diri dan hilang pertimbangan rasional.
Guru besar terbabit yang mahu mencapai cita-cita peribadi mula memaksa guru-guru bekerja lebih masa — termasuk pada hari cuti — tanpa memikirkan hakikat guru-guru juga ada keluarga.
Menurut sebuah rencana di Utusan Malaysia (18 Februari 2011), guru besar selaku pemimpin dan pentadbir akan menikmati habuan RM7,500 jika berjaya membawa sekolahnya melepasi tahap kecemerlangan yang ditetapkan.
Bagi sekolah rendah, 70 penilaian berdasarkan keputusan UPSR manakala 30 peratus meliputi pengurusan dan pentadbiran sekolah. Pencapaian murid dalam akademik dan kokurikulum turut diambil kira.
Bagi SJKT pula, guru besar khabarnya menerima habuan agak lumayan daripada MIC bagi setiap murid yang mendapat 7A dalam UPSR. Maknanya, ada lebih daripada satu habuan yang menanti guru besar jika berjaya melonjakkan pencapaian murid.
Part 2. Kerana tekanan, guru SJKT cuba bunuh diri.



Sejak Cikgu Selvi mendapat gred DG44, secara mendadak, dia mula diberikan beban kerja dan jumlah mata pelajaran di luar akal rasional. Dia terpaksa mengajar lima kelas Bahasa Inggeris, tiga kelas Sains, tiga kelas Muzik dan tiga kelas Pendidikan Jasmani.
Secara purata, Selvi perlu menanda 700 buku setiap minggu. Setiap dua hari, Puan Saraswathi akan menyemak buku-buku berkenaan secara rambang dan sengaja mencari kesalahan.
Pelbagai tekanan diberikan secara berterusan oleh guru besar itu. Misalnya, Saraswathi turut mempersoalkan mengapa Selvi tidak memberikan kerja rumah kepada murid-murid pada cuti hujung tahun!
Pada waktu itulah Selvi mula tidak mampu mengawal tekanan dan penderaan mental yang diterima. Akan tetapi, penderaan itu berterusan sehingga Selvi hanya mampu menangis pada setiap mesyuarat.

Sebaik sesi persekolahan bermula pada Januari 2012, Saraswathi masuk ke setiap kelas di mana Selvi mengajar. Dia akan sengaja mencari kesalahan dan menghinanya dengan sangat teruk di hadapan murid-murid setiap kelas.
“Guru besar akan sentiasa mengungkitkan bahawa sebagai guru DG44 yang mengatasi DG32 (guru besar itu), maka prestasi saya mesti lebih baik daripada dia,” Selvi mengeluh sambil mengimbas pengalaman itu.
Oleh kerana sudah tidak mampu menanggung segala penderaan mental dan emosional, Selvi pengsan di dalam kelas pada suatu hari semasa sedang dihina bertubi-tubi oleh Saraswathi.
Apabila dibawa ke pusat perubatan, pakar mengesahkan Selvi mengalami depressive disorder dan diberikan cuti sakit selama sepuluh hari. Sepanjang tempoh itu pun Saraswathi tidak berhenti daripada terus memberikan tekanan.
Guru besar meminta guru-guru lain dan kerani menelefon secara bertali-arus untuk menyuruh Selvi membatalkan cuti dan datang semula ke sekolah. Saraswathi turut menelefon pegawai di pejabat pendidikan daerah (PPD) dan mengadu kononnya Selvi berpura-pura sakit. Kononnya doktor pakar memberikan surat cuti sakit yang palsu.
“Saya berada dalam keadaan mamai dan ketakutan selama sepuluh hari itu. Suami saya menceritakan (kemudian) bahawa apabila cuti sakit tamat, saya berpaut pada kakinya dan merayu supaya tidak diminta pergi semula ke sekolah berkenaan. Saya sudah tidak tahan dengan penderaan Saraswathi,” Selvi mengakui.
Kemurungan mencetuskan idea bunuh diri
Rawatan susulan diterima di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM). Selvi diberikan ubat anti depression pada dos tinggi kerana doktor mendapati keadaannya agak teruk.
Anak-anak juga menerima kesan daripada keadaan kesihatan Selvi. Anak bongsu berumur lapan tahun pada waktu itu. Selvi masih dalam trauma dan sering kali tidak tahu apa yang sedang dilakukannya.
Emosi dan keadaan mentalnya sangat terganggu. Beberapa kali Selvi dikatakan cuba mencederakan anaknya sendiri. Selvi hanya tahu mengenai insiden itu apabila diceritakan beberapa bulan kemudian.
Sementara itu, Saraswathi tidak berhenti daripada mengganggu dengan terus menghubungi pegawai PPD dan mengadu kononnya Selvi berpura-pura atau berlakon seperti orang sakit kerana malas bekerja.
“Rakan-rakan kerja mengirim e-mel dan SMS untuk bertanya khabar. Semua SMS dan e-mel balasan saya dicetak oleh guru besar. “Salinan itu dikemukakan kepada PPD sebagai bahan bukti kononnya saya masih mampu berkomunikasi secara waras, maka sepatutnya dipaksa kembali ke sekolah,” guru itu menceritakan.
Selvi sudah tidak mampu menanggung segala tekanan dan gangguan emosional apabila dihubungi secara bertalu-talu oleh sekolah untuk memintanya datang semula. Wajah Saraswathi sentiasa terbayang di depan mata.
Guru itu mula menjadi bertambah murung pada waktu tertentu dan ganas pada waktu lain. Anak-anaklah yang turut menerima kesan daripada semua ini. Anak bongsu yang tidak memahami apa-apa turut menjadi mangsa.
Selvi mengaku bahawa ada suara dalam hati yang menyarankan supaya segala penderitaan itu ditamatkan dengan cara mencabut nyawa sendiri. Suara halus itu sentiasa muncul dalam fikiran dan cuba menghasutnya. Beberapa kali Selvi mengambil keputusan membunuh diri dengan terjun dari tingkat enam pangsapuri. Mujurlah anak bongsunya berjaya menghalang.
Kisah yang perlu dijadikan pengajaran
Anak-anak yang belajar dan menginap di luar semakin risau. Prestasi pelajaran mereka juga terjejas teruk kerana memikirkan kesihatan ibu mereka.
Keadaan diri Selvi tidak terurus. Anak sulung yang belajar di luar negara terkejut besar melihat keadaan ibunya sewaktu pulang bercuti. Selvi dibawa semula ke PPUM.
Doktor mengesahkan keadaannya semakin teruk dan diberi cuti sakit 90 hari. Selvi pulang ke rumah ibu bapanya di Perak untuk menerima penjagaan rapi. Anak bongsu dibawa bersama.
Sementara itu, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (KPPK) tampil membantu sebaik sahaja kes ini dibawa kepada perhatian mereka oleh anak sulung Selvi.
Setiausaha Agung KPPK, Lok Yim Pheng, bersemuka dengan Saraswathi untuk membincangkan isu yang timbul. Selvi juga dihantar kepada kaunselor khas di Jabatan Pelajaran Negeri Selangor untuk khidmat kaunseling.
Guru itu tidak henti-henti berdoa dan memohon “dibebaskan” daripada terus menjadi mangsa penindasan dan kezaliman Saraswathi.
Selvi sudah serik dengan sikap guru besar itu yang bukan hanya memusnahkan hidupnya, tetapi hidup seluruh keluarganya.
Akhirnya, berkat campur tangan KPPK, pada Mei 2012, Selvi ditukarkan ke sekolah lain dan beliau bertugas dengan cemerlang di sana sehingga hari ini.
Prestasi murid-muridnya meningkat dari hari ke hari.
“Pada mulanya, saya masih dalam proses pemulihan. Saya cukup bertuah kerana guru besar di sekolah baru amat prihatin dan penyayang.
“Sokongan guru-guru dan kakitangan di SJKT itu juga menjadi terapi positif yang berjaya mengembalikan saya kepada diri saya yang asal,” Selvi mengakhiri ceritanya.
Kisah Selvi wajar menjadi rujukan, panduan dan pengajaran kepada semua pihak terbabit bagi memastikan guru-guru tidak dijadikan mangsa kerakusan, kezaliman, penindasan dan ketamakan guru besar serta sistem pendidikan negara yang kacau-bilau.

Share this :

Previous
Next Post »