t>

Breaking News

Rumah Menteri, Pejabat Akhbar Cina Di Serang.


Sibu – Kediaman Menteri Kabinet Sarawak dan pejabat akhbar tempatan berbahasa Cina ditembak penjenayah dalam kejadian di dua lokasi berasingan, di sini, kelmarin.

Kejadian pertama berlaku di pejabat akhbar tempatan berbahasa Cina di Sungai Antu Industrial Estet, di sini, selepas pengawal keselamatan syarikat mendengar satu das tembakan pada jam 5.20 pagi.

Di lokasi berasingan, kediaman Menteri Kewangan II negeri yang juga Presiden Parti Rakyat Bersatu (UPP) Datuk Seri Wong Soon Koh di Jalan Ipoh, di sini, pula ditembak kira-kira jam 5.30 pagi dan kejadian itu disedari anaknya Datuk Andrew Wong Kee Yew.

Ketua Polis Daerah Sibu Asisten Komisioner Mohd Kamal Kordi berkata, ketika pemeriksaan dibuat di rumah Soon Koh, pihaknya mendapati ada serpihan kaca di tangga rumah dan terdapat kesan tembakan.

Menurutnya, ada sembilan kesan tembakan pada kerangka tingkap dan dinding dipercayai berpunca daripada satu das tembakan senapang patah pada jarak kira-kira 30 meter dari luar pagar konkrit rumah terbabit.

“Tiada kecederaan dilaporkan kerana ketika kejadian anggota keluarga berada dalam bilik, manakala Soon Koh berada di Kuching kerana urusan pekerjaan.

“Suspek dipercayai menggunakan senapang patah dan punca kejadian masih disiasat,” katanya ketika dihubungi semalam.

Mohd Kamal berkata, dalam kes tembak berasingan 10 minit sebelum itu di pejabat akhbar tempatan berbahasa Cina, pemeriksaan menemui sembilan kesan tembakan pada pintu masuk bangunan berkenaan.

“Kejadian disedari pengawal keselamatan selepas terdengar bunyi tembakan dan menemui serpihan kaca di depan pintu masuk bangunan sebelum memaklumkan perkara itu kepada pengurusan syarikat.

“Tiada kecederaan dilaporkan dan penjenayah dipercayai menggunakan senapang patah.

“Berikutan kes ini, satu kumpulan khas diwujudkan untuk menjalankan siasatan,” katanya.

Kejadian tembakan membabitkan kediaman Soon Koh adalah yang kedua dengan kes pertama pada 14 Ogos lalu.

Dalam kejadian itu, Andrew turut menemui serpihan kaca berhampiran tingkap.

Beliau juga mendapati tingkap dan dinding di tangga rosak sebelum dinasihatkan membuat laporan polis untuk pemeriksaan lanjut.

Selain itu, pada 29 Januari lalu, dua kompleks beli-belah di bandar ini iaitu Wisma Sanyan dan Kompleks Premier turut menjadi sasaran tembakan penjenayah.

Susulan kes tembakan itu, lapan lelaki ditahan bagi membantu siasatan kes berkenaan. – Metro