Muhyiddin Yassin Terkejut Ranking Pendidikan Malaysia Jatuh, Corot Di Peringkat Antarabangsa.


Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengatakan terkejut apabila mengetahui Malaysia berada di kedudukan corot dalam ujian piawaian antarabangsa meskipun Putrajaya memperuntukkan dana besar dalam sistem pendidikan negara.

Beliau berkata, laporan ujian di peringkat  antarabangsa seperti Program Penilaian Antarabangsa Pelajar (Pisa) dan Pengajian Antarabangsa Matematik dan Sains (TIMSS) membuktikan prestasi  pelajar Malaysia masih belum cukup cemerlang.

"Isu yang kita hadapi bukan sahaja kementerian namun sebagai menteri pendidikan kenapa dengan sumbangan besar kerajaan dalam bidang pendidikan pencapaian anak kita tidak setinggi berbanding negara maju?

"Pandai, namun diletakkan dalam ujian antarabangsa seperti TIMSS dan Pisa, ia bukan satu rahsia dan kedudukan kita dikatakan satu pertiga di bawah dan bukan di atas.
"Saya selaku menteri pendidikan terperanjat dilapor begitu, namun saya perlu terima walaupun sudah dikatakan baik namun belum cukup baik," katanya ketika berucap melancarkan Majlis Perasmian Karnival Warna Warni di Sekolah Kebangsaan Seksyen 7, Shah Alam hari ini.

Ini merupakan kali pertama timbalan perdana menteri itu memberikan reaksinya mengenai prestasi pendidikan Malaysia dalam ranking piawaian antarabangsa.

Sebelum ini, laporan pendidikan seperti Pisa dan TIMSS mendedahkan rangking Malaysia pada tahap tercorot dan berada di belakang ‎Vietnam.

Dalam ujian Pisa yang dikeluarkan pada Disember lalu, Malaysia menduduki tangga kedua tercorot di Asia Tenggara.

Ini menyebabkan Putrajaya termasuk Muhyiddin dikecam hebat oleh pemimpin Pakatan yang menyifatkan kejatuhan prestasi  sebagai krisis pendidikan negara.

Ketika Bajet 2015, Putrajaya memperuntukkan RM56 bilion kepada kementerian pendidikan, jumlah yang tertinggi berbanding kementerian lain.

‎Muhyiddin dalam ucapannya sebentar tadi berkata, ‎Malaysia antara negara yang melaburkan sejumlah besar dalam sistem pendidikan dan ia turut disahkan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).

"Kita dapati Malaysia melabur sejumlah besar dalam pendidikan seperti 21% daripada belanjawan negara untuk bidang pendidikan sama ada pra sekolah, sekolah rendah, sekolah menengah hatta di universiti.

"Ini jika hendak dibandingkan negara maju ia setanding atau lebih tinggi daripada itu dari segi perbelanjaan sistem pendidikan.

"Bukan kata tak bernilai ia lebih besar daripada negara maju, lebih besar daripada Amerika Syarikat, ini bukti jelas, kalau ada pihak tuduh kata kerajaan Barisan Nasional tak beri tumpuan kepada pendidikan ini bohong," katanya.

Beliau berkata, disebabkan itu kementerian pendidikan melaksanakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 dan ibu bapa serta pihak guru perlu memahami perubahan untuk sistem pendidikan lebih baik memerlukan masa.

"Siapa boleh tunggu sampai 12 tahun, memang itu lama namun ia hakikat kerana kita tak boleh buat perubahan mendadak ada sesetengah persoal kenapa menteri baru nak ubah semua, mahu itu mahu ini?

"Namun kenyataan kalau nak guna sistem lama maka hasilnya hanya begitu, tapi kalau kita nak buat perubahan kita kena  lakukan sekiranya tidak pelajar akan jadi mangsa sistem pendidikan tidak baik," katanya.

Timbalan presiden Umno itu berkata proses perubahan pendidikan ke arah lebih baik termasuk pelaksanaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) bagi menggantikan Peperiksaan Menen‎gah Rendah (PMR).

Muhyiddin berkata, ibu bapa tidak perlu risau sekiranya keputusan anak tidak cemerlang dalam ujian itu kerana ia dilihat sebagai penanda aras bagi kerajaan menentukan apakah kelemahan pelajar yang boleh diatasi sebelum menghadapi Sijil Peperiksaan Malaysia.

"Proses perubahan sudah mula berlaku, tapi ada ibu bapa tidak berapa jelas dan kita anjur seminar untuk beri kefahaman kepada mereka.

"Ada persoalan berbangkit  apabila PT3 dilaksana‎kan, mereka menyatakan keputusan anak mereka tidak cemerlang hanya beberapa A saja, namun itu hakikat nampak saja baik, namun realitinya tidak.

"Saya minta ibu bapa sabarlah sedikit, faham apa insiatif kita buat supaya dengan cara begitu, dari 2 tahun lagi kita boleh tentukan apa kelemahan ‎pelajar dan kita perbaiki, ini adalah untuk kebaikan sistem pendidikan negara," katanya. – TMI.

Share this :

Previous
Next Post »