Lim Kit Siang Yakin Hadi Akan Gagal Bentang RUU Hudud Di Parlimen.


Penasihat DAP, Lim Kit Siang yakin Rang Undang-undang Persendirian Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Pindaan 2015) tidak akan dibentangkan di sesi Dewan Rakyat, Mei ini.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, beliau percaya Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak akan berjaya membawa rang undang-undang itu.

“Beliau (Abdul Hadi) sebelum ini pernah membawa rang undang-undang yang hampir sama di Parlimen pada 1996. Tetapi ia kekal di kertas Aturan Mesyuarat Dewan Rakyat dan tidak pernah dibawa ke peringkat perbahasan apatah lagi pengundian.

“Saya percaya perkara sama akan berulang jika Abdul Hadi membawa rang undang-undang itu di Parlimen Mei ini,” katanya kepada penuntut Malaysia di Mesir yang disiarkan dalam blognya, semalam.

Kelmarin, Abdul Hadi mempertahankan keputusannya membawa rang undang-undang  persendirian itu walaupun tanpa rundingan dengan pimpinan Pas dan PR.

Menurut Abdul Hadi, tindakannya menyerahkan notis agar rang undang-undang persendirian itu dibentangkan di Dewan Rakyat 18 Mac lalu merupakan perkara biasa.

Dalam pada itu, Kit Siang berkata, usaha Abdul Hadi hanya akan berjaya jika kerajaan memberi peluang dan masa di Parlimen untuk pembentangan rang undang-undang itu.

“Jika ini berlaku, akan menyebabkan perpecahan besar dalam politik negara. Pertama kepada BN khususnya parti komponen di Sabah dan Sarawak,” katanya. – ST

Share this :

Previous
Next Post »