t>

Breaking News

Rafizi Dedahkan Konspirasi Kerajaan Swastakan Pembayaran Semula GST Kepada Syarikat Luar.


Skim pembayaran semula cukai barang dan perkhidmatan (GST) untuk pelancong akan diserahkan kepada syarikat swasta yang menerima komisen 15% daripada pembayaran balik sistem cukai baharu itu kepada pelancong, kata Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli.
Rafizi berkata, keseluruhan skim berkenaan diswastakan kepada syarikat Iris Corp Berhad, yang kemudiannya menubuhkan usahasama bersama syarikat Global Blue yang berpangkalan di Switzerland.
Syarikat usahasama itu, kata Rafizi, diberi konsesi lima tahun menguruskan skim pembayaran balik semula GST kepada pelancong.
"Tindakan menswastakan skim pembayaran balik GST kepada pelancong melalui konsesi pada kadar komisen 15% ini sudah tentu menimbulkan rasa tidak senang rakyat kerana sedang keseluruhan rakyat terbeban dengan pengenalan GST, ada pihak tertentu yang mengaut keuntungan dari pelaksanaan GST melalui dasar penswastaan," kata Rafizi pada sidang media di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya, hari ini.
Rafizi berkata, sekiranya Jabatan Kastam diberi tanggungjawab itu, 15% yang dikutip itu akan kekal sebagai pendapatan negara dan mampu menampung perbelanjaan lain.
"Sebaliknya, dengan penswastaan ini, bukan sahaja pelancong asing tidak perlu membayar GST seperti rakyat Malaysia, komisen untuk membayar kembali GST kepada mereka kini menjadi keuntungan kepada syarikat swasta dan syarikat antarabangsa," kata ahli Parlimen Pandan itu lagi.
Beliau turut berkata, jika Putrajaya mampu membelanjakan sejumlah RM365 juta bagi kos mempromosikan GST, mengapa kerajaan gagal memberikan peruntukan kepada Jabatan Kastam mengendalikan skim pembayaran balik GST.
"Saya menyeru supaya kerajaan mengkaji semula kaedah penswastaan ini dan memendekkan konsesi yang diberikan kepada syarikat usahasama swasta itu supaya hasil kutipan GST oleh kerajaan tidak tiris kepada syarikat swasta yang mendapat konsesi itu," katanya.
"Ini seolah-olah memberi gambaran ada pihak yang menikmati keuntungan dari penswastaan GST, sedangkan rakyat terbanyak menanggung beban pelaksanaannya," katanya.
GST dilaksanakan bermula 1 April lalu dengan kadar 6% bagi menggantikan sistem percukaian cukai jualan dan perkhidmatan (SST).
Sejak pengenalannya, Putrajaya dikritik hebat, malah demonstrasi sering berlaku di ibu negara.
Antara protes yang diadakan termasuklah yang dianjurkan Gabungan Bantah GST pada 23 Mac lalu di perkarangan pejabat Wisma Kastam di Kelana Jaya, disertai kira-kira 100 orang dan berakhir dengan penangkapan sekitar 80 peserta protes tersebut.
Protes "duduk bantah" itu meminta jawapan kepada 106 soalan berhubung GST, dan diserahkan dalam satu memorandum kepada pemangku pengarah kastam Kuala Lumpur, Abd Gani Othman.
Antara mereka yang ditahan dalam protes itu ialah Setiausaha Agung PSM, S. Arutchelvan, Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Mohd Hatta Ramli, Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Badrul Hisham Shahrin, Ahli Parlimen Sungai Siput Jeyakumar Devarah dan pesara guru Annie Ooi, yang dikenali sebagai Aunty Bersih. – TMI.