t>

Breaking News

Siapa Suruh Dia Pergi Ke Hospital Swasta - Bidas Ahmad Maslan Kepada MP BN YG Merungut Tentang GST Pada Bil Rawatan.


Mereka yang tidak mampu untuk dapatkan rawatan perubatan di hospital swasta boleh mendapatkan perkhidmatan itu di hospital kerajaan sekiranya terbeban dengan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai aduan yang dibuat oleh Ahli Parlimen Sepanggar Datuk Jumat Idris berhubung GST selepas mendakwa terpaksa membayar ribuan ringgit untuk kos rawatan anaknya.
“Kita ada pilihan, sekiranya kita berkemampuan untuk dapatkan rawatan di hospital swasta tetapi jika tidak mampu, hospital kerajaan sentiasa ada.
“Siapa suruh beliau pergi ke hospital swasta. Pilihan di tangan kita sendiri,” katanya selepas mengadakan lawatan di beberapa premis perniagaan di Bandar Perda bersama pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan Jabatan Kastam.
Ahmad berkata, hospital kerajaan juga menyediakan perkhidmatan yang sama dan lengkap dengan semua kelengkapan perubatan.
“Sekiranya masyarakat memilih untuk ke hospital swasta, mereka perlu bersedia untuk menanggung kosnya.
“Hospital swasta sebelum ini turut mengenakan caj Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) enam peratus,” katanya.
Jumat sebelum ini melalui posting di laman Facebook miliknya berkata, beliau memahami beban yang dihadapi rakyat terhadap cukai yang baru diperkenalkan kerana beliau sendiri terpaksa membayar GST dua kali untuk mendapatkan rawatan anaknya yang menghidapi sakit saraf dan tulang belakang bengkok.
“Kos perundingan tertakluk kepada enam peratus GST, untuk kos rawatan sekali lagi saya dikenakan enam peratus. Kos untuk rawatan sakit saraf adalah RM20,000, GST RM1,200. Ia tidak termasuk caj lain. Hari ini saya dikenakan caj sebanyak RM5,000.
“Ini sebenarnya membebankan rakyat,” katanya.
Status berkenaan bagaimanapun mendapat pelbagai komen daripada masyarakat umum yang mengambil peluang itu untuk meluahkan rasa terbeban mereka sejak pelaksanaan cukai berkenaan bermula 1 April lalu.
Sementara itu, Ahmad Maslan berkata, kerjasama antara KPDNKK dan Jabatan Kastam boleh ditingkatkan bagi memastikan tiada peniaga yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) GST.
“Mereka (peniaga) tidak boleh beri alasan yang mereka tidak tahu tentang peraturan ini jadi mereka dengan sewenangnya menaikkan harga barang kerana semuanya sudah ada dalam portal (gst.customs.gov.my).
“Mereka tidak boleh menjadikan ia sebagai alasan jadi mereka boleh langgar peraturan dengan sewenang-wenangnya,” kata Ahmad Maslan.
Tambahnya, GST tidak patut dipersalahkan berikutan kenaikan harga barang tetapi perniagaan yang tidak beretika menjadi puncanya. -TRP