t>

Breaking News

BRIM Patut Diberi Secara Bulanan - Beri BRIM RM80 Sebulan Kata FOMCA.


Pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) secara tunai perlu ditukar kepada pemberian bulanan bagi mencapai matlamat kerajaan membantu mengurangkan beban rakyat.
Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, pemberian BR1M adalah inisiatif kerajaan membantu rakyat dan berikutan itu kaedah salurannya perlu tepat agar matlamat itu berjaya dicapai.
“Sebagai contoh daripada jumlah RM950 yang diterima menerusi BR1M, kerajaan menyalurkan secara bulanan kepada RM80 selama 12 bulan. Saya rasa itu lebih baik.
“Dengan cara itu, pengguna dapat membeli barang keperluan asas dan bukannya barang lain di kedai yang terlibat dalam program berkenaan,” katanya, semalam.
Bagaimanapun katanya, bagi memastikan pengguna dapat menggunakan wang pemberian BR1M itu dengan cara sepatutnya, kerajaan dicadangkan menukar pemberian tunai kepada bentuk kupon, baucar mahupun melalui MyKad.
Menurutnya, penggunaan MyKad bukanlah baharu di negara ini bagi membantu pengguna membuat pembelian barang asas di kedai yang terlibat kerana telah digunakan Yayasan MyKasih.
“Ia satu kaedah bagus kerana pengguna boleh membuat pembelian barang keperluan asas dengan wang maksimum RM80 (contohnya) setiap bulan dengan menggunakan MyKad di kedai yang terlibat. Ia cara yang lebih baik berbanding memberikan wang tunai,” katanya.
Beliau berkata, penggunaan kupon, baucar dan MyKad bertujuan mengawal penggunaan wang pemberian BR1M dengan cara betul.
Sementara itu, mengulas bantuan kerajaan mengurangkan beban rakyat selepas kenaikan harga barang berikutan GST, Mohd Yusof berkata, kerajaan perlu memainkan peranan mengurangkan impak seperti kempen penurunan harga mahupun galakan syarikat menyerap GST. -SH