Liberalisme Punca Pelajar MARA Di UK Terlibat Dengan Pornografi Kata Najib Razak.


Penangkapan seorang rakyat Malaysia di London baru-baru ini boleh ditelusuri puncanya kepada elemen liberalisme dan melampau yang menular di kalangan penganut Islam, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Pelajar yang terlibat dalam sesuatu yang menjijikkan di UK baru-baru ini dan menggemparkan menunjukkan bahawa anasir begini wujud di kalangan orang Islam dan ia timbul dari fahaman ekstremisme dan liberalisme," katanya sewaktu melancarkan Institut Wasatiyyah Malaysia di Seri Perdana, Putrajaya petang ini.

Nur Fitri Azmeer, seorang sarjana tajaan Majlis. Amanah Rakyat (Mara) yang melanjutkan pelajaran di Imperial College, dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Southwark Crown, London setelah mengaku bersalah atas 17 pertuduhan memiliki bahan pedofilia dengan niat untuk mengedarkannya.

Najib pada 8 Mei lalu menyifatkan kesalahan Nur Fitri yang didapati memiliki lebih 30,000 imej dan video lucah kanak-kanak di London, sebagai satu jenayah yang amat berat. Beliau berkata, penuntut jurusan Matematik berusia 23 tahun itu mesti dikenakan hukuman setimpal dengan kesalahan yang dilakukan.

Perdana menteri juga menegaskan beliau tidak bersetuju dengan cadangan atau komen sesetengah pihak bahawa kerajaan akan merayu kes Nur Fitri Azmeer untuk mengurangkan hukumannya, apatah lagi menggunakan dana awam bagi tujuan itu.

Dalam ucapan sama petang ini, Najib turut mengingatkan orang ramai akan bahaya liberalisme ke atas konsep diri umat Islam.

"Umat Islam juga berhadapan ancaman liberalisme yang akan merosakkan jati diri umat Islam‎ kerana golongan liberal akan mengambil mudah prinsip agama dan kerana itu lahirlah golongan Islam liberal, lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT), human right-isme dan sebagainya," kata Najib. - TMI.

Share this :

Previous
Next Post »