Rosmah Wanita Islam Berani & Bijak - Pegawai Khas PM.


Pegawai Khas Perdana Menteri Rizal Mansor sekali lagi mempertahankan Datin Seri Rosmah Mansor daripada dikritik bekas menteri Kabinet Datuk Zaid Ibrahim.

Beliau yang membidas kenyataan Zaid itu berkata, bekas menteri itu perlu menerima hakikat Rosmah merupakan seorang wanita Islam yang berani dan bijak.

"Saya sungguh terkejut apabila terbaca coretan bekas menteri (hal ehwal) undang-undang Zaid yang lupa nilai moral.

“Komen beliau mengenai bagaimana isteri perdana menteri sepatutnya berkelakuan hanya menggambarkan betapa ceteknya pemikiran beliau. "Sudah tibalah masanya untuk Zaid keluar dari bawah tempurung dan menerima hakikat isteri PM anda adalah seorang wanita Islam yang berani dan bijak.

"Adakah anda cuba mengetengahkan wanita hanya perlu menjadi pasif dan duduk di dapur? Wahai Zaid, ini adalah tahun 2015 dan wanita mempunyai kaliber dan keupayaan sama setanding dengan lelaki," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Rizal berkata demikian ketika mengulas mengenai artikel "The people’s PM" yang disiarkan pada 18 Mei di laman blog Zaid.

Ini bukan pertama kali pegawai khas perdana menteri itu mengeluarkan kenyataan mempertahankan Rosmah daripada dikritik.

Beliau pada masa sama menyifatkan tindakan Zaid mengeluarkan kenyataan tersebut sebagai seorang tidak waras selain mendakwa bekas pemimpin Barisan Nasional (BN) itu seorang yang mudah lupa.

"Zaid perlu berhenti mengkritik seorang wanita yang sedang melakukan yang terbaik demi rakyat Malaysia. Beliau perlu lebih fokus kepada perkara positif dan berusaha berbuat sesuatu demi masyarakat Malaysia, tanpa hanya duduk mereka cerita mitos.

"Igauan beliau secara tidak langsung mencerminkan bahawa beliau merupakan seorang cauvinis dan mencari publisiti murahan dengan mengkritik seorang wanita yang prihatin dan bersifat keibuan terhadap rakyat Malaysia," katanya.

Katanya Zaid terlupa hakikat Rosmah juga banyak berjasa seperti menolong pelajar Malaysia yang ditahan di Mesir kerana disyaki sebagai perisik termasuk menggunakan pengaruhnya membolehkan pelajar negara ini dihantar ke tempat selamat semasa pemberontakan di Arab.

Beliau mungkin terlupa atau terlepas pandang kisah salah seorang pelajar kita yang ditahan di Mesir selepas disyaki menjadi perisik.

“Rosmah tanpa mengenali pelajar tersebut segera membuat panggilan kepada isteri presiden Mesir ketika itu (Suzanne Mubarak) dan dalam masa dua jam pelajar itu dibebaskan dan boleh pulang meneruskan pengajian.

“Sudah tentu, Zaid sebagai seorang peguam dan bekas menteri undang-undang akan melompat ‘kangaroo’ dengan mengatakan bahawa perkara ini harus dilaksanakan oleh kementerian luar negeri dan pegawai yang berkaitan. Rosmah mengambil inisiatif ini atas naluri keibuan beliau. Lebih-lebih lagi, perkara ini diselesaikan tanpa publisiti.

"Ini adalah senario luar biasa, dan Rosmah melaksanakannya kerana hubungan rapat beliau dengan keluarga diraja Arab,” katanya mengulas mengenai peranan isteri perdana menteri itu membantu pelajar Malaysia dalam Ops Piramid.

Katanya rakyat Malaysia patut berbangga kerana Rosmah bukan sahaja sebagai seorang  wanita yang berani dan bijak namun turut membantu suami dalam melaksanakan tugas-tugasnya, secara tidak langsung.

Tambahnya, Zaid juga tidak juga boleh menafikan peranan Rosmah dalam memulakan Permata iaitu program yang direka untuk kanak-kanak di bawah umur 4 tahun dalam memupuk keupayaan pemikiran.

"Bagaimana Zaid melupakan perkara ini? Beliau lupa atau hanya bertungkus lumus mencari perkara negatif untuk di ketengahkan,” soalnya.

Rizal juga mengingatkan tindakan Zaid itu sebenarnya mencemuh seorang wanita yang prihatin dan penyayang di mana kesejahteraan rakyat Malaysia merupakan keutamaan Rosmah.

"Kita tidak perlu memuji Rosmah, tapi sekurang-kurangnya janganlah dicemuh tanpa berhati perut.

"Beliau  (Rosmah) juga sungguh vokal dan bijak dalam menjalinkan hubungan rapat dengan individu kenamaan antarabangsa; demi memasyhurkan nama negara di pentas dunia, salah ke perbuatan ini, saudara Zaid?,” soal Rizal -TMI.

Share this :

Previous
Next Post »