Sebar Dokumen Cadangan Pelaburan, Tabung Haji Lapor Polis Minta Siasatan Lanjut.


Lembaga Tabung Haji (TH) membuat laporan polis berhubung 'pembocoran' dokumen Tabung Haji dalam urusan pembelian tanah di pusat kewangan Tun Razak Exchange (TRX). 

Laporan dibuat Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Datuk Johan Abdullah di Balai Polis Dang Wangi di sini pada petang Khamis. Laporan itu antara lain menyatakan blog 'The Benchmark' didakwa memanipulasi fakta berkaitan pelaburan yang dilaksanakan TH untuk pembelian tanah di TRX. 

"Pelaburan itu sudah melalui kesemua proses dalaman menurut peraturan TH dengan mendapat kelulusan yang betul dan teratur. "Pembelian tanah tersebut adalah dengan harga RM188.5 juta setelah mendapat potongan pada kadar pasaran semasa sebagai yang dinilai oleh penilai bebas profesional di dalam pengetahuan saya," katanya dalam laporan itu. Laporan polis itu turut menafikan TH sedang di dalam proses membeli Menara Signature sebagaimana dilaporkan di dalam blog berkenaan. "Kebocoran kertas cadangan tersebut tidak membuktikan bahawa cadangan pelaburan tersebut telah diluluskan. "TH tidak pernah sama sekali membenarkan perbuatan mendedahkan maklumat sulit kerana ia bertentangan dengan Akta Tabung Haji 1995 dan polisi dalaman TH," kata laporan itu. 

Johan menunjukkan laporan polis yang dibuat di hadapan Balai Polis Dang Wangi. Terdahulu, TH mengesahkan telah membeli tanah bagi tujuan pelaburan hartanah di pusat kewangan TRX. Jelas Johan langkah itu adalah sejajar dengan strategi pelaburan hartanah TH yang memberikan tumpuan kepada sektor domestik. TRX adalah projek yang dibangunkan 1MDB dan langkah membeli tanah oleh TH itu dilihat sebagai usaha menebus sebahagian hutang 1MDB yang bernilai RM42 bilion. Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, 14 anggotanya akan bermesyuarat dalam masa terdekat bagi membincangkan siasatan ke atas 1MDB sebelum laporan Ketua Audit Negara dikeluarkan. 

Jelasnya, pihak 1MDB juga diharap dapat memberi kerjasama penuh bagi melancarkan siasatan berkenaan. Pengerusi Lembaga TH, Datuk Seri Azeez Rahim sebelum ini dilaporkan telah mengarahkan pihak pengurusan Tabung Haji untuk mengeluarkan kenyataan berhubung dakwaan pembelian tanah milik 1MDB seperti yang tersebar di media sosial sejak Rabu.-OMK.

Share this :

Previous
Next Post »