Kapal Tangki Milik Malaysia Hilang Tanpa Dikesan - 22 Krew Atas Kapal.


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan akan menggunakan sumber-sumbernya untuk mengesan kapal tangki yang hilang bersama 22 kru di 30 batu nautika timur Tanjung Sedili, Kota Tinggi, Johor pada Khamis.

Najib berkata beliau berasa sedih mendengar berita kehilangan kapal tangki itu dan berdoa semoga semua kru dalam kapal tersebut berada dalam keadaan selamat.

"Saya sedih mendengar berita kehilangan kapal tangki milik Malaysia itu. Saya berdoa semoga 22 kru yang 16 daripadanya ialah warga Malaysia berada dalam keadaan selamat,

"Doa saya adalah bersama keluarga masing-masing. Kerajaan akan menggunakan sumber-sumbernya untuk mengesan kapal tangki itu," katanya menerusi catatan terbaru beliau dalam laman Twitter dan Facebook hari ini.

MT Orkim Harmony membawa 6,000 tan metrik muatan minyak petrol RON95 sedang dalam pelayaran dari Melaka ke Kuantan apabila dilaporkan hilang Khamis lepas.

Selain 16 kru warga Malaysia, lima rakyat Indonesia dan seorang warga Myanmar berada dalam kapal tangki itu.

Operasi mencari untuk menjejaki kapal tangki itu telah dilancarkan dengan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengerahkan tiga buah kapal bersama 150 anggota sementara Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menggunakan sebuah helikopter, tiga buah kapal dan sebuah bot.

-- BERNAMA

Share this :

Previous
Next Post »