t>

Breaking News

Akhirnya VAPE Diharamkan Di Malaysia.

Penggunaan rokok elektronik atau vape yang semakin popular di negara ini difatwakan sebagai haram oleh Majlis Fatwa Kebangsaan.
Pengerusinya, Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Abd. Shukor Husin berkata, keputusan itu mengguna pakai hukum menghisap shisha yang telah diputuskan sebelum ini.
“Kita sudah bincangkan rokok dan shisha dan kita boleh samakan dengan vape. Apabila cukup dapatan iaitu yang pertama membahayakan, kedua ia membazirkan dan ketiga memudaratkan daripada segi kesihatan, maka apabila perakuan-perakuan ini sama, maka kita mengatakannya haram.
“Kita telah putuskan dan tiada masalah mengenai perkara ini. Sebenarnya Kementerian Kesihatan maklumkan yang mereka sedang menunggu pakar-pakar mereka tetapi kita telah mendahului kerana daripada segi asasnya, jika ia memudaratkan dan membazir maka daripada segi agama kita tidak setuju perkara seperti itu,” katanya, lapor Utusan Malaysia.
Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan yang bersidang pada 17 Julai 2013 telah membincangkan tentang hukum shisha yang memutuskan bahawa shisha adalah haram dan umat Islam dilarang menghisap shisha atau menyediakan perkhidmatan menghisap shisha atau apa-apa aktiviti yang berkaitan dengan shisha.
Perkara itu diputuskan setelah mendengar pembentangan dan penjelasan pakar-pakar daripada Kementerian Kesihatan dan meneliti maklumat serta bukti-bukti perubatan dan saintifik yang dikemukakan dari dalam dan luar negara mengenai kesan dan kemudaratan besar yang dihadapi akibat dan terhadap kesihatan ummah, pembangunan ekonomi negara serta pembentukan generasi akan datang. -FMT