t>

Breaking News

Maklumat Rakyat YG Menyokong #BERSIH4 Di Luar Negara Akan Dikumpul Untuk Tindakan Undang2 - Menteri.


Kementerian Luar akan mengumpul maklumat rakyat Malaysia yang terlibat dengan perhimpunan haram Bersih 4 di luar negara untuk tindakan undang-undang ke atas mereka selepas itu, kata Timbalan Menterinya Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Beliau berkata pemantauan sedang dilakukan oleh Wisma Putra dan identiti mereka akan diserahkan kepada pihak berkuasa negara itu untuk diambil tindakan sewajarnya mengikut undang-undang negara berkenaan.

Rakyat Malaysia terbabit tidak seharusnya dilepaskan daripada tindakan kerana mereka telah melakukan perbuatan yang boleh menjatuhkan imej negara di peringkat antarabangsa, katanya.

"Saya juga dimaklumkan ada negara yang tidak mengizinkan kancah politik domestik dibawa ke negara mereka. Saya meminta rakyat kita yang berada di luar sana untuk menjaga adat dan nama negara.

"Kita bukan tidak mempunyai ruang yang luas untuk mana-mana pihak bercakap. Ini bukan negara kuku besi atau negara yang menutup ruang demokrasi," katanya selepas merasmikan persidangan perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Rompin di sini, hari ini.

Turut hadir pemangku Ketua UMNO Bahagian Rompin Datuk Hasan Arifin yang juga anggota Parlimen Rompin, Setiausaha bahagian Datuk Wan Kadri Wan Mahusain dan Ketua Pemuda UMNO bahagian Datuk Mohd Johari Hussain.

Reezal Merican juga berkata amat tidak wajar bagi rakyat Malaysia menggunakan 'pentas' di luar negara untuk menyuarakan ketidakpuasan hati mereka kepada kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Saya sendiri ada masanya mempunyai pandangan yang kritikal tetapi saya mengikut saluran yang difikirkan wajar dan mematuhi undang-undang. Jangan sampai merosakkan negara dan menyusahkan umum.

"Malah tindakan ini (berhimpun) jika di negara tertentu ada yang boleh dikenakan tindakan lebih keras. Kebebasan bersuara tidak boleh dilihat sebagai kebebasan mutlak untuk menyuarakan apa jua perkara melalui apa jua cara. Adakah kita akan menghalalkan segalanya atas nama kebebasan bersuara atau hak asasi manusia?" katanya.

Perhimpunan Bersih 4 di ibu kota juga tidak bersikap adil kepada peniaga dan pengunjung di kawasan yang terlibat serta membuka ruang kepada pihak tidak bertanggungjawab termasuk media asing untuk memburuk-burukkan negara, katanya.

Reezal Merican yang juga anggota Majlis Tertinggi UMNO turut menyifatkan tindakan mereka yang terlibat dalam perhimpunan itu sebagai tidak patriotik kerana pemilihan tarikh yang terlalu hampir dengan ulang tahun sambutan Hari Kebangsaan.

"Mengapa mereka tidak memilih tarikh lain? Kita juga ada Akta Perhimpunan Aman. Jika mereka benar-benar mahu berhimpun, kita ada beberapa buah stadium di negeri pembangkang. Berhimpun di sana, itu jauh lebih baik untuk dipuji," katanya.

Di MUAR, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim berkata penganjur perhimpunan sepatutnya menghormati hak orang lain termasuk peniaga yang mahu berniaga dan mereka yang mahu bersiar-siar di hujung minggu.

"Mereka juga perlu menghormati hak orang lain jika mahu orang lain menghormati hak mereka dengan mengadakan perhimpunan itu di stadium," katanya kepada pemberita. -Awani.