Mati Dalam Politik Kerana Pertahankan UMNO Lebih Baik Daripada Mati Kemalangan - UMNO Kepong.


Tiada perjuangan lebih mulia berbanding berjuang bersama UMNO dan mempertahankan kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri serta Presiden UMNO.
Malah, Ketua UMNO Bahagian Kepong, Senator Datuk Ridzuan Abdul Hamid berkata, mati dalam politik kerana berjuang UMNO lebih baik berbanding mati kerana kemalangan.
Sehubungan itu, beliau akan terus berjuang bersama UMNO bahkan tidak akan bergerak walau seinci pun bagi mempertahankan Najib.
“(saya) Takkan bergerak walau seinci bersama Najib bahkan akan terus berjuang bersama UMNO.
“Kami akan sentiasa berperang dengan musuh. Kalau nak mati, kita mati bersama Najib. Itu Ikrar, mati dalam politik lebih baik daripada mati katak atau mati dalam eksiden,” katanya sewaktu berucap di Mesyuarat UMNO Bahagian Kepong di Hotel Hilton KL pada Ahad.
Ridzuan juga meluahkan kekesalan dengan sikap bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang kerap mempersoalkan isu wang derma RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun Najib.
“Dia makin dipecat makin garang, pergi ke merata bahagian, dan persoalkan RM2.6 bilion. Bukankah mereka berjanji untuk mempertahankan Najib.
“Tetapi mengapakah mereka sering menghentam dan membawa masalah seperti isu syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan isu RM2.6 bilion,” tegasnya.
Ridzuan berkata, jika dilihat dari segi keperibadian Muhyiddin, beliau merupakan seorang yang mendapat pendidikan tinggi dalam bidang agama, namun sikapnya berbeza apabila tidak setia kepada pemimpin.
“Orangnya beragama, bapanya adalah seorang yang yang disanjung tinggi, tapi anaknya baru dua tahun dua bulan jadi Timbalan Perdana Menteri, tidak setia kepada Perdana Menteri,” katanya. -FMT

Share this :

Previous
Next Post »