t>

Breaking News

Abu Dhabi Dedah AS$1b Lagi Lesap Daripada 1MDB.

Sepuluh hari selepas muncul tuduhan kehilangan bayaran AS$1.4 bilion (RM6.02 bilion) daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kepada anak syarikat pelaburan Abu Dhabi pada November 2014, Wall Street Journal (WSJ) hari ini melaporkan AS$1 bilion lagi masih belum ditemui.

Pegawai di sana cuba menjejak AS$993 juta yang dilaporkan dibayar 1MDB kepada International Petroleum Investment Co (IPIC), kata WSJ.

Akhbar harian perniagaan itu pada 9 September melaporkan IPIC, syarikat pelaburan negeri Emiriah Arab Bersatu menjamin AS$3.5 juta bon yang dikeluarkan 1MDB untuk membiayai pembelian loji jana kuasa pada 2012.

Sebagai balasan, IPIC ada opsyen untuk membeli 49% pegangan dalam loji jana kuasa itu dan juga sebagai cagaran bagi bon berkenaan.


1MDB melaporkan ia membayar semula IPIC AS$1 bilion, manakala pihak IPIC berkata tidak menerima bayaran kedua. Dana pelaburan negara itu berkata, akaun kewangannya yang diaudit dan ditandatangani oleh Deloitte, termasuk dengan AS$1.4 bilion yang didakwa hilang itu.

Pada Isnin, pendakwa persekutuan Switzerland berkata Malaysia bersetuju untuk mengaturkan penyiasat Switzerland menemubual saksi dalam siasatan mereka berhubung tuduhan rasuah dan penggubahan wang haram berkait dengan 1MDB.

Tuduhan hari ini menambah kepada masalah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, memandangkan 1MDB adalah ilhamnya dan mengumpul hutang lebih RM42 bilion dalam tempoh 6 tahun beroperasi.

Rakyat Malaysia memilih untuk berdemonstrasi di jalanan pada 29 dan 30 Ogos lalu dalam perhimpunan Bersih 4 mendesak peletakan jawatan Najib susulan skandal 1MDB dan isu RM2.6 bilion diterima daripada penderma Timur Tengah terus ke akaun peribadinya menjelang pilihan raya umum pada 2013.

Pada Rabu, perhimpunan ‘baju merah’ diadakan sebagai tindakan balas terhadap Bersih 4 dan untuk menunjukkan sokongan kepada Najib. – TMI