t>

Breaking News

Dapat Duit RM30 - Peserta Perhimpunan Merah.


Sekumpulan wanita yang menyertai Perhimpunan Rakyat Bersatu pada semalam mendakwa mereka mendapat wang saku sebanyak RM30.
Mereka yang berasal dari Felda Lembah Kelau, Pahang itu berkata, pemberian wang saku itu sebagai bonus untuk makan dan minum sepanjang menyertai perhimpunan itu.
Salah seorang ahli kumpulan itu berkata, mereka datang dengan sebuah bas seramai 40 orang dan bertolak pukul 8.30 pagi tadi.
"Kami datang sini macam makan angin sahaja. Hendak bagi nampak ramai peserta.
"Sempat juga dapat jalan-jalan Pasar Seni tadi cuma terkilan tak dapat pergi melawat KLCC.
"Dapat datang ke Kuala Lumpur percuma sambil dapat wang saku lagi. Okey lah," katanya yang ditemui berkumpul di depan Masjid Negara.
Wanita itu juga mendakwa ramai lagi masyarakat Felda yang hadir dari Pahang untuk menyertai perhimpunan itu yang turut dikenali Himpunan Baju Merah.
Sementara itu, jalan masuk ke pusat bandar raya lengang sebelum menjadi sesak menuju masuk ke Masjid Negara akibat jalan ditutup.
Sepanjang jalan masuk ke sana, kelihatan puluhan bas yang meletakkan kenderaan itu di tepi jalan yang melibatkan bas-bas sekolah, persiaran dan Jabatan Khidmat Latihan Negara.
Pada masa sama, peserta Himpunan Baju Merah itu dihadiri pelbagai lapisan umur termasuk warga emas.
Dalam pada itu, terdapat ramai pelancong asing yang mengambil kesempatan bersiar-siar di sekitar Masjid Negara dan bangunan Keretapi Tanah Melayu Berhad tanpa mempedulikan peserta perhimpunan. - MalaysiaGazette