50,000 Kakitangan Kerajaan Bakal Diberhentikan Menjelang 31 Disember 2015.


Keputusan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk tidak menyambung kontrak 50,000 orang kakitangan awam selepas 31 Disember tahun ini bakal memberi implikasi buruk kepada politik, ekonomi dan sosial.
Sehubungan itu, JPA diminta mengkaji sedalam-dalamnya keputusan berkenaan sebelum akhir tahun ini.
Bekas Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Omar Osman yang tidak berpuas hati dengan keputusan berkenaan percaya keputusan itu pasti disebabkan kekangan belanjawan kerajaan.
Bagaimanapun, katanya, JPA mengambil jalan mudah untuk menangani masalah tersebut.
“Pada 2012 pun macam itu juga, bagi notis sama. JPA tidak fikir ke keputusan itu membabitkan 50,000 orang pekerja, bukan 10 orang, bukan 50 orang. Kalau 50,000 itu diberhentikan mereka hendak makan apa? Anak isteri dan tanggungan mereka hendak disuap dengan apa? Hutang rumah, hutang kereta macam mana?
“Jangan ambil mudah, jangan buat keputusan sebab mereka sudah duduk di kerusi empuk. Fikir nasib orang-orang bawahan,” tambahnya kepada MalaysiaGazette baru-baru ini.
Omar yang juga Presiden Kelab Pesara 1Malaysia dan Yayasan Pekerja Malaysia berkata, kebanyakan pekerja kontrak kakitangan awam sudah berkhidmat melebihi 10 tahun dan dalam situasi semasa bukan mudah untuk cari kerja baru.
Malah, beliau percaya meskipun notis berkenaan telah dikeluarkan, ada pekerja kontrak awam tertentu yang selamat di sebabkan faktor-faktor dalaman.
“Dulu pun pernah buat macam ini tetapi ada pekerja-pekerja kontrak terselamat. Ini juga tidak adil, tidak telus,” tambahnya.
Beliau berkata, hampir 98 peratus pekerja kontrak kerajaan adalah dalam kalangan orang Melayu dan kalau notis itu dikuatkuasa, yang banyak menganggur adalah orang Melayu.
“Ini adalah satu petunjuk tidak baik kepada politik, imej kerajaan, sosial dan ekonomi secara keseluruhannya. Jadi JPA fikir-fikirkanlah,” ujar beliau.
Sumber : MalaysiaGazzete

Share this :

Previous
Next Post »