t>

Breaking News

Dokumen TPP Mungkin Tidak Sempat Dibentangkan Tahun Ini - Menteri.


Kerajaan membayangkan butiran Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) mungkin tidak sempat dibentangkan pada persidangan Parlimen tahun ini berikutan kekangan masa.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II, Datuk Seri Ong Ka Chuan berkata persidangan Dewan Rakyat bermula 19 Oktober ini akan memfokuskan kepada pembentangan, perbahasan dan kelulusan Bajet 2016.

"Agak mencabar untuk cuba membawa (TPPA) ke Parlimen tahun ini namun kita akan cuba. Bagaimanapun kita perlu bincang dengan Speaker Dewan Rakyat (Tan Sri Pandikar Amin Mulia) terlebih dahulu mengenai perkara ini.

 "Lagipun pada masa ini kami perlu memberi pendedahan kepada rakyat terlebih dahulu mengenai TPPA kerana ramai yang masih keliru," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Agung Wanita MCA ke-40 di Kuala Lumpur, hari ini.
Pada Rabu lepas, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata Malaysia perlu mendapatkan kelulusan Parlimen sebelum menandatangani TPPA.

Mustapa menegaskan biarpun rundingan bagi Pakatan Trans-Pasifik (TPP) dimuktamadkan, namun Malaysia masih belum menandatangani perjanjian berkenaan malah dokumen teks itu hanya dijangka siap pada akhir bulan ini.

Usaha rundingan TPPA itu yang pertama kalinya dilancarkan pada 2005, melibatkan 12 negara iaitu Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, Amerika Syarikat dan Vietnam. – Bernama