t>

Breaking News

JPM Terima 14b Dalam #Bajet2016 Tetapi Najib Tak Jelaskan Kenapa - PAS.

Pas mempersoalkan langkah kerajaan memperuntukan bajet berjumlah RM14 bilion kepada Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Ketua Penerangan Pas Pusat, Nasrudin Hassan berkata, jumlah yang diterima oleh JPM telah mengatasi peruntukan untuk pendidikan dan pertahanan yang sememangnya lebih penting.
“Perdana Menteri pula tidak menyentuh untuk apa jumlah yang sebegitu besar diperlukan oleh portfolionya di dalam ucapan bajet.
“Fenomena sebeginilah yang disifatkan oleh kebanyakan kapten industri seperti diungkapkan CEO Air Asia, Tony Fernandes tiadanya ketelusan dalam perbelanjaan kutipan cukai,” katanya dalam kenyataan media.
Menurut Nasrudin lagi, kerajaan tidak boleh untuk menyalahkan rakyat sekiranya pengumuman bajet kali ini dianggap meragukan.
Mengulas lanjut Bajet 2016, Nasrudin berkata, Pas menyifatkan bajet itu sebagai satu pengumuman bajet kitar semula.
Katanya, apa yang terkandung dalam bajet kali ini dianggap sebagai cerita lama kerana tidak mempunyai inspirasi baharu untuk rakyat.
Ahli Parlimen Temerloh itu berkata, bajet kali ini tidak memberi inspirasi dan tidak menyuntik keyakinan rakyat akan ketahanan daya upaya ekonomi negara.
“Bajet 2016 hanyalah suatu bajet kitar semula tanpa sebarang inspirasi baru. Dengan tanggungan hutang kerajaan hampir RM800 bilion dan tanggungan hutang isi rumah tertinggi di Asia, ruang untuk negara mengembangkan ekonomi semakin terhad.
“Apakah Bajet 2016 mengakui hambatan besar ini dan apa pula penyelesaian yang diberikan? Jawapannya tiada,” katanya. - FMT.