t>

Breaking News

Kos Baiki KLIA 2 RM76.5 Juta, Kenapa Ditanggung Kerajaan? (MAHB) Soal Faiz Fadzil.


KLIA2 yang digunakan sejak Mei 2014 walaupun dibina untuk kemudahan awam merupakan satu lagi projek mega kerajaan yang tidak seharusnya menelan belanja yang melampau tinggi dalam keadaan ekonomi negara yang meleset dan bebanan kos sara hidup yang begitu tinggi. Laporan juga menyebut, kos asal pembinaan sebanyak RM1.7 billion meningkat kepada RM3.9 biliion.

Tidak cukup dengan kos pembinaan yang terlalu tinggi, kos pembaikan juga menelan belanja sebanyak RM76.5 juta. Kerosakan yang berlaku dilaporkan melibatkan mendapan di parkir apron, takungan air di 'taxiway' dan landasan serta retakan di bangunan terminal.

Kenapakah kualiti pembinaan tidak sempurna dan bebas daripada kerosakan, sedangkan kos pembinaan terlalu tinggi? Tidak sewajarnya wujud kerja baikpulih yang begitu substantif. Yang mengelirukan adalah kenapa MAHB yang perlu menanggung kos baikpulih, sedangkan dalam amalan biasa kontrak pembinaan, kontraktor yang perlu membaikpulih sebarang kerosakan jika ia berlaku dalam tempoh tanggungan kecacatan.

Jika kontraktor enggan membaiki kerosakan, barulah MAHB boleh menanggung kos baikpulih, tetapi kosnya tetap akan dipotong daripada wang tahanan kontraktor. Namun, jika tempoh tanggungan kecacatan tamat, pihak MAHB masih mempunyai remedi melalui tort kecuaian sepertimana yang berlaku dalam kes Highland Towers.


Maka timbul persoalan kenapakah harus MAHB yang perlu menanggung kos baikpulih sebanyak itu? Adakah kos tersebut benar-benar berpadanan dengan kerosakan yang berlaku? Siapakah yang bertanggungjawab menyebabkan kerosakan yang begitu substantif, samaada pihak MAHB, kontraktor atau konsultan?

Apakah pihak MAHB akan mengambil tindakan terhadap kontraktor atau konsultan yang berkaitan? Mengapakah wang rakyat digunakan sewenang-wenangnya bagi manfaat pihak-pihak tertentu memandangkan MAHB adalah sebuah syarikat milik kerajaan (GLC)? Adakah wujud apa-apa unsur jenayah rasuah, pecah amanah atau penyelewengan dalam pembinaan dan pembaikan yang menelan belanja begitu tinggi?

Maka, laporan audit yang segera dan menyeluruh amat penting bagi menjelaskan persoalan-persoalan ini. Siasatan menyeluruh dan bebas pihak SPRM juga amat penting bagi menyiasat isu kos pembinaan dan pembaikan yang amat tinggi ini. Kerajaan perlu telus dalam isu-isu yang melibatkan penggunaan wang rakyat.

Apatah lagi, kerosakan yang berlaku melibatkan keselamatan pekerja dan pengguna di KLIA2 yang merupakan 'stakeholder' di pusat perkhidmatan awam tersebut. Integriti dan kredibiliti pentadbiran negara perlu dipertingkatkan memandangkan negara sedang dilanda dengan pelbagai skandal kewangan termasuk 1MDB yang mendapat perhatian masyarakat luar yang boleh menjejaskan lagi nilai matawang.

Cukuplah rakyat menderita akibat ketidakcekapan dan ketidaktelusan pentadbiran negara pada hari ini. - TMI.


Ditulis oleh Faiz Fadzil, wakil parti AMANAH.