t>

Breaking News

Wanita Lapor Polis Dakwa Dicabul Doktor Kerajaan Tetapi Sampai Sekarang Tiada Tindakan Susulan.



Seorang wanita 29 tahun mendakwa seorang doktor di sebuah klinik kerajaan di Selangor mencabul kehormatannya. Hanya mahu dikenali sebagai “Miss T”, beliau mendakwa menjadi mangsa doktor lelaki itu pada 8 Oktober lalu ketika mahu mendapatkan rawatan untuk batuk dan sakit kepala.
 

Wanita tersebut mendakwa, ketika sesi rawatan doktor itu berkata mahu memeriksa pernafasannya tetapi meraba-raba buah dadanya ketika berbaju selama beberapa minit memetik laporan Malaysiakini.

Laporan itu turut menyebut, Miss T turut mendakwa doktor itu kemudian mengarahkannya membuka baju, termasuk coli tetapi beliau menolak sebelum doktor itu memasukkan tangan ke dalam baju dan menyentuh payudaranya lagi.

Curiga dengan langkah itu, Miss T berkata dia kemudiannya memberitahu seorang kakitangan klinik selain membuat laporan polis pada hari yang sama.

Bagaimanapun, kata Miss T, sehingga ke hari ini dia masih belum dipanggil untuk memberikan keterangan.

“Saya mahu pihak berkuasa siasat doktor terbabit.

“Saya tak mahu perkara yang sama berulang kepada wanita lain,” kata Miss T pada sidang media di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri Kota Alam Shah, Klang hari ini.

Kenyataan Miss T dalam bahasa Mandarin pada sidang media itu diterjemahkan oleh seorang jurubahasa.
 

Miss T hadir dengan memakai baju yang sama ketika hari kejadian tetapi menyembunyikan wajah dengan memakai topeng dan topi.

Portal Malaysiakini juga memaklumkan bahawa mereka sedang mendapatkan reaksi balai polis yang menerima laporan itu serta klinik terbabit.