t>

Breaking News

Remaja 14 Tahun, Korban Bauksit Yang Pertama.


Remaja lelaki ditemui lemas ketika mandi di lombong bauksit di Ladang Makmur Bukit Goh, di sini, semalam. Dalam kejadian kira-kira 3 petang itu, Nabil Ariff Shaari, 14, dari Taman Impian, di sini, meninggal dunia di tempat kejadian memetik laporan Harian Metro.
Jenazahnya kemudian dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini. Difahamkan, sebelum kejadian mangsa bersama rakannya dipercayai lebih daripada lima orang tiba di lombong berkenaan untuk mandi.
Kejadian itu disedari seorang daripada rakan mangsa yang melihat pelajar tingkatan dua berkenaan terkapai-kapai meminta pertolongan.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Othman Bakar, ketika dihubungi, di sini, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan mengklasifikasikannya sebagai kes mati mengejut.
Dalam pada itu, ahli parlimen Kuantan turut memetik laporan berkenaan di laman facebooknya. Fuziah Salleh dipetik sebagai berkata, "Kini ia meragut nyawa pula .... Allahuakbar!!!".

" Peringatan kepada ibu bapa. Akibat perlombongan bauxite, persekitaran rumah anda tidak lagi selamat, pastikan anak anda tidak berada di dalam keadaan yang membahayakan mereka".


Selepas memaparkan link berita berkenaan, Fuziah mengakhiri kenyataan dengan berkata, " Anakanda tidak bersalah. Anakanda hanya pikir alangkah seronoknya kolam renang ini. Inilah akibatnya bila manusia rakus hanya mahu buat keuntungan. Tidak kira tentang keselamatan orang awam".





Kenyataan itu turut disokong oleh pengikut-pengikut FB YB Fuziah Salleh. Ada yang memberikan komen bahawa perlombongan bauksit meninggalkan kolam yang membuatkan jiwa anak-anak kecil dan remaja tertarik untuk mendekati seterusnya bermandi manda disitu. - Sozcyili.