t>

Breaking News

Sokong Bajet 2016, Tindakan Tepat Kata Khalid Ibrahim.


Bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata tindakannya menyokong Bajet 2016 di Parlimen semalam adalah tindakan yang tepat.

Ahli Parlimen Bandar Tun Razak itu berkata, beliau akan turun ke kawasannya dan menerangkan mengapa beliau mengundi untuk meluluskan bajet.

"Kawasan saya mengundi saya untuk melakukan perkara yang betul. Jadi saya melakukan perkara betul daripada perspektif saya. Saya boleh berjumpa pengundi di kawasan saya dan mengatakan ini yang saya rasa betul," katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

"Saya tidak melakukannya bagi pihak orang lain. Saya lakukannya demi mereka."


Bajet 2016 diluluskan malam tadi dengan undi belah bahagi dengan 128 menyokong, manakala 74 tidak menyokong.

Khalid dipecat keahlian PKR tahun lalu selepas tindakannya melaksanakan penstrukturan semula industri Air Selangor dan ia menjadikannya satu-satunya ahli Parlimen Bebas.

Katanya, bajet itu perlu diluluskan kerana ia melibatkan pembangunan yang perlu dilakukan kerajaan.

Khalid bagaimanapun berkata, terdapat hanya sebahagian kecil yang perlu dilakukan terhadap bajet itu untuk mengukuhkannya.

"Malah, ketika ucapan bajet saya, saya persoalkan keperluan penswastaan jadi kita boleh memperbetulkan masalah konsesi yang mengaut keuntungan besar hari ini.

"Jika ada perkara yang perlu kita betulkan, kita tidak perlu memperbetulkan keseluruhan bajet. Jadi sebagai ahli Parlimen Bandar Tun Razak, tiada keperluan untuk saya menolak bajet," katanya -TMI.