Susulan Pembunuhan Kevin Morais - Adik-Beradik Kevin Bergaduh, PDRM Mahu Adik Kevin Dedahkan Maklumat Sulit YG Berada Dalam Simpanannya.


Adik kepada mendiang timbalan pendakwa raya Kevin Morais berkata beliau mahu bedah siasat kedua dijalankan ke atas abangnya kerana hasil prosedur pertama tidak jelas.

Charles Morais berkata punca kematian yang dinyatakan kemungkinan disebabkan lemas, dan ini akan membuatkan mereka yang didakwa dalam kes pembunuhan Kevin dibebaskan.

"Punca kematian ringkas (one liner), kemungkinan lemas. Tiada sebarang bekas pada badan.

"Saya ingin ketawa. Pertuduhan itu akan dibuang,"
katanya pada sidang akhbar di pejabat peguamnya Americk Sidhu lapor The Malaysian Insider.


Charles berkata apa yang membimbangkan ialah penemuan kabur pada laporan bedah siasat pertama, menjadi alasan beliau memfailkan permohonan di mahkamah pada Isnin untuk prosedur kedua.

Bagaimanapun, tanpa diketahui Charles, abangnya Datuk Richard Morais, pada hari sama menuntut mayat Kevin dari rumah mayat Hospital Kuala Lumpur tanpa memberitahu mana-mana ahli keluarga.

Mahkamah Tinggi menetapkan 4 Disember untuk pengurusan kes permohonan Charles bagi menjalankan bedah siasat kedua.

Charles berkata beliau amat terkejut apabila pihak berkuasa di Hospital Kuala Lumpur dan polis nampaknya bersubahat dalam membenarkan mayat Kevin dikeluarkan dari rumah mayat oleh Richard apabila kedua-dua pihak tahu beliau (Charles) mahukan bedah siasat kedua dijalankan.

Charles hari ini memberitahu media Richard adalah "pembelot" dan sanggup melakukan apa saja demi wang.

Dalam 18 halaman akuan berkanun (SD) yang beliau nyatakan pada sidang akhbar semalam, Charles juga mendakwa Richard bersekongkol dengan penjenayah terbesar di Kuala Lumpur.



Pembunuhan bekas timbalan pendakwaraya Kevin Morais didakwa ada kaitan dengan kertas pertuduhan yang sedang beliau sediakan terhadap seorang “pegawai kanan kerajaan”, kata adiknya Charles.

Ketika bercakap pada sidang media yang penuh dengan wartawan dan jurugambar di pejabat peguamnya Americk Sidhu, Charles berkata, Kevin sedang dalam proses menyiapkan kertas pertuduhan itu, ketika bertugas di Jabatan Peguam Negara.

Beliau juga mendakwa abangnya, Datuk Richard Morais, bersekongkol dengan “seseorang” yang mengawal “permainan” melibatkan pembunuhan Kevin.
 

Charles mendakwa, inilah puncanya kenapa Richard mengambil mayat Kevin dari rumah mayat pada hari sama dia (Charles) memfailkan permohonan kepada mahkamah untuk membuat bedah siasat kedua.

Charles yang kelihatan marah melontarkan kritikan kepada Jabatan Peguam Negara kerana didakwa mempermainkannya.

"Mereka (Jabatan Peguam Negara) pada awalnya bersetuju dengan bedah siasat kedua tetapi membuat pusingan U, dan meminta saya mendapatkan perintah mahkamah," katanya.

Charles juga membuat 18 muka surat akuan bersumpah tentang hubungan adik-beradik Morais dan beberapa perbincangan yang dia lakukan dengan abangnya, Kevin, menjelang pembunuhannya.

Dalam SD itu Charles berkata, 2 atau 3 bulan sebelum Kevin meninggal dunia, dia ada memberitahunya sedang bekerja untuk kes yang melibatkan pembesar negara.

"Dia sebenarnya menggunakan perkataan 'kolata ala'. Ia merupakan perkataan Malayalam yang bermaksud 'orang yang tidak baik'," kata Charles merujuk kepada pembesar negara berkenaan. Kevin adalah Malayalee.

Charles yang tinggal di Atlanta, Amerika Syarikat (AS) berkata, abangnya memberitahu melalui telefon menggunakan bahasa Malayalam, kerana bimbang telefonnya mungkin diintip.

Charles berkata, dia memiliki pen drive (pemacu pena) yang dikirim Kevin melalui syarikat penghantaran sebelum beliau meninggal dunia.

"Ia selamat dalam simpanan seseorang di AS dengan arahan ia disebarkan kepada umum jika kejadian tidak diingini berlaku terhadapnya kerana membuat SD ini.


"Kandungan pen drive ini sangat jelas dan tidak kurang pentingnya mendedahkan tentang penyiasatan yang diamanahkan kepada Kevin sebelum dia mati, mengaitkan beberapa personaliti yang sedang berada di pusat kuasa di Malaysia sekarang," kata Charles.

Katanya, dia tidak percaya Kevin dibunuh akibat mendakwa seorang ahli patologi kerana rasuah.



Susulan dari perkembangan kes tersebut, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata PDRM akan memanggil Charles Suresh Morais berhubung satu laporan  beliau mempunyai maklumat tertentu berkaitan kes pembunuhan mendiang abangnya itu.

"Tindakannya tidak mendedahkan maklumat boleh dianggap satu kesalahan kerana menyembunyikan maklumat. Jika dia (Charles Suresh) benar memiliki maklumat berkenaan, ia seharusnya diserahkan kepada PDRM untuk membantu siasatan.

"Saya cadangkan dia berkongsi maklumat dengan polis supaya tindakan dapat diambil. Polis tidak boleh bertindak jika tidak mempunyai maklumat mengenai mendiang Kevin," katanya ketika dihubungi malam tadi.


Khalid mengulas laporan beberapa buah portal berita tempatan berikutan maklumat tertentu disimpan di dalam pemacu USB dan kini berada di Amerika Syarikat bersama seseorang yang diarah mendedahkan kandungannya kepada umum sekiranya sesuatu tidak diingini berlaku.

Share this :

Previous
Next Post »