t>

Breaking News

Buktikan Derma 2.6b Digunakan Untuk UMNO - Shafie Apdal Cabar Najib Razak.


Presiden Umno Datuk Seri Najib Abdul Razak perlu membuktikan bahawa sumbangan RM2.6 bilion yang diterimanya, telah digunakan untuk Umno, kata Naib Presiden parti itu, Datuk Seri Shafie Apdal.
"Beliau perlu membuktikannya. Berapa orang yang terima duit ini? Kalau untuk Umno, kenapa tak dibincangkan dalam Majlis Tertinggi Umno, apa kegunaan dan ke arah mana kita guna duit ini.
"Mungkin cara dia menggunakannya. Dia beranggapan dia presiden, maka ia untuk kebaikan Umno," kata Shafie dalam satu temu bual di pejabatnya di Mont Kiara di Kuala Lumpur, semalam.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada menerima RM2.6 bilion dari sumber asing itu, sesuatu yang boleh diterima.
Katanya, ia bukannya persoalan sama ada boleh diterima atau tidak, tetapi ia adalah persoaalan mengenai akauntabiliti.
Najib telah berkata RM2.6 bilion itu adalah sumbangan politik kepada Umno dan program tanggungjawab sosial korporat.
Bagaimanapun, Shafie yakin bahawa RM2.6 bilion itu tidak ada dalam penyata akaun parti.
"Jumlah itu tidak ada dalam penyata akaun (Umno). Memang tak bentang pun.
"Ia tidak masuk ke dalam akaun Umno. Ia masuk dalam akaun beliau (Najib). Jadi, saya pasti ia tidak dalam akaun Umno," katanya.
Shafie yang digugurkan sebagai menteri pembangunan luar bandar dan wilayah pada bulan Julai, berkata beliau juga telah membangkitkan perkara itu dalam kabinet.
Bagaimanapun, katanya, beliau hanya diberitahu bahawa wang itu datang dari seorang "penderma Arab" dan setakat itu sahaja. - Malaysiakini.