t>

Breaking News

Gulingkan Kerajaan Perbuatan Haram - Najib Razak.


Pihak-pihak tertentu yang mempunyai hasrat untuk menggulingkan kerajaan harus mengetahui bahawa hukum perbuatan mereka itu adalah haram di sisi Islam.
Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, penegasan beliau itu adalah berdasarkan pandangan daripada mereka yang mempunyai pengetahuan luas dalam agama.
Perkara itu dipercayai ditujukan oleh Najib kepada ahli dan segelintir pemimpin UMNO yang cuba menjatuhkan kepimpinan beliau sebagai ketua kerajaan dan presiden parti selain serangan daripada pihak pembangkang.
Peringatan Najib itu juga dipercayai turut ditujukan kepada kumpulan pengkhianat yang ada dalam parti.
“Malangnya, ada sesetengah pihak (ahli parti) yang telah dan sedang menebuk lubang bahtera perjuangan ini, dengan tujuan menenggelamkan lawannya.
“Sayang seribu kali sayang, mereka terlupa bahawa tindakan khianat sedemikian, bukan setakat boleh melemaskan pihak lawannya, akan tetapi, akhirnya yang karam dan tenggelam, adalah seluruh bangsa keturunan dan tamadun kita ini,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian dalam Perhimpunan Agung UMNO 2015, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada Khamis.
Dalam pada itu Najib berkata, walaupun beliau diasak dari kiri dan kanan beliau tidak akan pernah tunduk dengan desakan itu, malah, akan mempertahankan UMNO untuk membela orang Melayu.
“Kata pepatah orang Bugis, sekali layar sudah dikembang. Saya berikrar bermati-matian akan terus memimpin perjuangan mulia ini, bagi membela orang Melayu dan Bumiputera,” katanya. - FMT.