t>

Breaking News

NOW Kini Persoalkan Tindakan YAPEIM Wujudkan Pusat Sukan GOLF Simulator.


BENARKAH AGENSI YaPEIM MILIKI PUSAT SUKAN INPUT GOLF SIMULATOR?
National Oversight and Whistleblowers (NOW) menyambut baik komitmen yang diberikan oleh Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri agar satu ‘task-force’ ditubuhkan dan satu garis panduan berkaitan penambahbaikan tadbir urus serta operasi bagi Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) juga akan dikeluarkan tidak lama lagi.
Beliau menerangkan kepada Dewan Negara pada minggu lepas bahawa garis panduan ini penting bagi memastikan bukan sahaja urusan dan operasi agensi seperti ‪#‎YaPEIM‬ berjalan mengikut peraturan yang ditetapkan sahaja, tetapi juga berteraskan nilai moral dan integriti yang tinggi.
Menurut Laporan Bajet YaPEIM tahun 2013 pada muka surat 13 dan 14 (rujuk lampiran):-
Kelab Sukan Korporat YaPEIM telah mengadakan beberapa aktiviti permainan Golf bersama warga YaPEIM dan agensinya serta institusi luar iaitu sebanyak 8 kali pada tahun 2013.
Berdasarkan senarai permainan Golf yang direkodkan, program terbesar berlangsung pada 18 Ogos 2013 iaitu Majlis Hi-Tea Golf Amal Silaturrahim Sambutan Aidil Fitri YaPEIM di Kota Kinabalu, Sabah yang melibatkan seramai 56 orang peserta, yang turut dihadiri pemimpin negeri Sabah dan juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri iaitu YB Dato’ Seri Jamil Khir Baharom.
Laporan Bajet YaPEIM 2013 seterusnya menyatakan bahawa perkembangan lain bagi tujuan aktiviti sukan korporat dan program permainan golf adalah dengan mewujudkan Pusat Sukan INPUT Golf Simulator melalui INPUT YaPEIM.
Ini termasuk mengenal pasti Kelab Golf yang bersesuaian bagi tujuan dijadikan Pusat Kegiatan dan Latihan Sukan Korporat Golf.
Semakan melalui Nota-nota Penyata Kewangan YaPEIM bagi tahun berakhir 31 Disember 2014 bahagian [d] Hartanah, Loji & Peralatan dan Susutnilai (rujuk lampiran) turut menunjukkan bahawa Peralatan Golf Simulator tersenarai dalam peralatan-peralatan yang mengalami susutnilai tahunan.
Dokumen yang sama turut menunjukkan kegiatan utama "Institut Penyelidikan dan Perundingan YaPEIM Sdn Bhd" atau yang lebih dikenali sebagai INPUT adalah untuk menyediakan khidmat latihan, penyelidikan dan perundingan di dalam pelbagai perkara yang memberi faedah kepada masyarakat Islam mengikut sistem pengurusan moden yang berlandaskan hukum Syarak.
Hasil maklumat orang ramai, siasatan NOW telah berjaya menjejaki Pusat Sukan INPUT Golf Simulator yang terletak di Mentari Business Park, Petaling Jaya seperti bukti bergambar yang disertakan dengan papantanda Pusat Latihan INPUT Golf dan papantanda dimiliki oleh YaPEIM INPUT di hadapan premis.
Ini pasti menimbulkan banyak persoalan mengenai Pusat Sukan INPUT Golf Simulator antaranya adalah:
1. Adakah benar YaPEIM atau INPUT YaPEIM memiliki Peralatan Golf Simulator?
2. Jika ia, bilakah dan berapa unit Peralatan Golf Simulator yang dibeli?
3. Berapakah kos pembelian dan penyelenggaraan Peralatan Golf Simulator dari tempoh pembelian peralatan sehingga ke hari ini?
4. Berapakah kos pemilikan, pengurusan dan pentadbiran Pusat Latihan INPUT Golf di Mentari Business Park, Petaling Jaya?
5. Apakah keperluan mewujudkan Pusat Sukan INPUT Golf Simulator yang mana dalam Laporan Bajet YaPEIM 2013 telah menyebut bahawa tujuannya dikatakan sekadar memenuhi Program Sukan Korporat YaPEIM?
Persoalan-persoalan tersebut perlu diteliti memandangkan YaPEIM merupakan sebuah Yayasan yang berteraskan amal jariah sebagaimana penyataan misi YaPEIM iaitu ‘Membangun Ummah Melalui Budaya Beramal Jariah’.
Sewajarnya YaPEIM mahupun agensi-agensinya memenuhi matlamat dan misi penubuhan seperti yang disebut oleh Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, “penekanan aspek tadbir urus bukan ikut peraturan sahaja tetapi yang paling penting ialah dari segi moral, prinsip nilai dan akhlak juga perlu dititikberatkan.”
Semoga ‘task-force’ dan garis panduan yang dijanjikan dapat mengambil cadangan-cadangan penambaikan yang dikemukakan oleh NOW dan seterusnya memartabatkan ketelusan, kejujuran, check and balance serta tatakelola yang baik.
Ini termasuk mengkaji semula keperluan seperti peruntukan tahunan berjumlah jutaan Ringgit kepada Lembaga Pemegang Amanah, kewujudan begitu banyak agensi-agensi berkaitan YaPEIM, fasiliti-fasiliti seperti Golf Simulator, lawatan-lawatan ke luar negara dan sebagainya.
17 DISEMBER 2015
AKMAL NASIR
Pengarah
National Oversight and Whistleblowers (NOW)
www.facebook.com/NOWMalaysia
Selepas pendedahan demi pendedahan dibuat mengenai skandal melibatkan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim), Pusat Pemantau dan Pendedahan Maklumat Nasional (NOW) hari ini menuntut penjelasan berhubung keperluan agensi itu memiliki pusat sukan golf simulator yang dinamakan "Pusat Latihan INPUT Golf".

INPUT ialah singkatan bagi Institut Penyelidikan dan Perundingan Yapeim.

Pengarahnya Akmal Nasir berkata banyak persoalan timbul mengenai pusat sukan itu, memandangkan Yapeim berteraskan amal jariah sebagaimana penyataan misinya, iaitu "Membangun Ummah Melalui Beramal Jariah".

Beliau berkata, menurut laporan bajet yayasan itu bagi 2013, Kelab Sukan Korporat Yapeim mengadakan aktiviti permainan golf melibatkan kakitangannya dan agensinya, serta institusi luar, sebanyak 8 kali pada tahun tersebut.
"Laporan bajet itu menyatakan, termasuk bagi tujuan aktiviti sukan korporat dan program permainan golf adalah mewujudkan Pusat Sukan INPUT Golf Simulator melalui INPUT Yapeim.

"Ini termasuk mengenal pasti kelab golf bersesuaian bagi tujuan dijadikan Pusat Kegiatan dan Latihan Sukan Korporat Golf," katanya pada satu sidang media di ibu pejabat NOW hari ini. – TMI.