t>

Breaking News

Sultan Selangor Kritik Khalid Ibrahim, Tukar Objektif PKNS, Utamakan Keuntungan Dari Sediakan Perumahan Mampu Milik.


Sultan Sharafuddin Idris Shah mengatakan baginda tidak berpuas hati dengan pentadbiran bekas menteri besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kerana menukar matlamat asal Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang seharusnya untuk memajukan projek-projek perumahan mampu milik, lapor Mingguan Malaysia.

Dalam wawancara bersama akhbar itu Sultan Selangor bertitah, Khalid menjadikan PKNS terlalu mementingkan keuntungan seolah-olah syarikat pemaju besar, seperti Sime Darby.

“PKNS diwujudkan untuk orang Melayu dapat membeli rumah kos rendah mampu milik.

"Malangnya semasa era pentadbiran Khalid, PKNS jadi seperti pemaju-pemaju lain dan membuat keuntungan,” kata seperti dilaporkan edisi Ahad akhbar Utusan Malaysia itu.


“Semasa era Khalid, PKNS seolah-olah diletakkan setanding dengan Sime Darby. Maka agak susah jugalah orang nak dapat rumah.”

Menurut Sultan Sharafuddin, baginda tidak menghalang pembinaan kondominium mewah akan tetapi mencadangkan lokasinya mesti sesuai dan perlu diseimbangkan dengan projek kediaman mampu milik.

“Rumah atau pangsapuri mampu milik sangat penting sebab saya tengok graduan universiti kini tiada tempat tinggal dan sewa pula mahal,” kata Sultan Selangor seperti dilaporkan akhbar itu.

Sultan Sharafuddin turut menyifatkan Khalid sebagai individu yang mempunyai gaya tersendiri dalam mentadbir kerajaan negeri.

Bagaimanapun, titah baginda, tokoh korporat itu tidak pandai berpolitik jika dibandingkan dengan penggantinya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang jauh lebih memahami bidang itu.

“Oleh itu kita lihat mana yang boleh membawa pembangunan dan kemajuan ke negeri Selangor ini,” titah baginda mengulas gaya pentadbiran Khalid dengan Azmin dalam wawancara khas yang diterbitkan Mingguan Malaysia hari ini, sempena keputeraan baginda ke-70.‎

Sultan Sharafuddin juga mengakui baginda berasa malu melihat orang Islam meminta sedekah di Selangor.

"Peminta sedekah ini datang dari negeri-negeri lain, termasuk kanak-kanak yang diperalatkan oleh sindiket.

“Tetapi orang Melayu, kerana hendak dapatkan pahala, mereka beri duit. Inilah punca masalah peminta sedekah berleluasa,” titah baginda, yang melihat sendiri gejala itu di Seksyen 7 Shah Alam sewaktu bersiar-siar waktu malam.

Sementara itu, baginda menggambarkan kedudukan menteri besar Selangor sebagai “banyak godaan” dan “gula paling manis” yang mempunyai risiko.

“Siapa duduk kerusi menteri besar ini, memang ada banyak godaan. Kerusi ini tidaklah setanding kerusi perdana menteri tetapi seakan-akan begitu di peringkat negeri.

“Dia (menteri besar) boleh buat kekayaan, dia boleh dapat pengaruh, dia boleh berkuasa dan ramai orang datang berjumpa. Macam gula yang paling manis, semua semut menghurung,” kata  Sultan Sharafuddin.

Baginda mengulas tanggapan jawatan menteri besar Selangor sebagai “kerusi panas” jika dilihat daripada pemegang jawatan terdahulu.

“Bukan (kerusi) panas, tetapi semua ini terpalit dengan godaan. Sangat mudah untuk membuat kekayaan dan berkuasa kerana orang pandang tinggi kepada jawatan menteri besar.

“Gaji semua menteri besar lebih kurang sama tetapi manisnya berbeza dan bagi Selangor sudah tentu lebih ‘manis’. Sebab itulah ia menjadi kerusi panas.

“Namun kerusi ini tidak panas, jika tahu prinsip. Kalau tidak ada prinsip, memanglah panas dan bergoyang,” tambah baginda.

Sultan Sharafuddin juga meluahkan rasa kecewa baginda kerana kebanyakan menteri besar Selangor tidak teguh berprinsip dan akhirnya terhukum dengan sumpah yang diikrarkan semasa pelantikan.

“Sama juga dengan Dr Mohamad Khir Toyo kerana duduk di atas kerusi itu, yang sangat berkuasa macam besi berani (magnet) mampu menarik pelbagai benda datang kepada kamu,” kata baginda.

“Jangan lupa, lantikan menteri besar perlu melalui upacara angkat sumpah dari dahulu. Itu pasal, kebanyakan yang tidak betul, terhukum dengan sendiri.”

Oktober lalu, baginda menitahkan pembatalan darjah kebesaran “Datuk Seri” yang dikurniakan kepada Dr Khir selepas bekas menteri besar Selangor itu dihukum penjara 12 bulan.

Beliau disabitkan kesalahan menyalahgunakan kedudukannya sebagai menteri besar Selangor untuk membeli tanah dan banglo di Shah Alam, 8 tahun lepas.

Sultan Selangor juga menceritakan pesan-pesan yang disampaikan kepada Khalid sebelum ini.

“Saya selalu cakap dengan Khalid dahulu, jawatan menteri besar Selangor ini masuk penggal kedua kalau tidak betul-betul, habis.

"Akhirnya beliau pun tak tahan lama, beberapa bulan lepas penggal kedua, beliau pun meletak jawatan,” kata Sultan Sharafuddin seperti dilaporkan Mingguan Malaysia. - TMI.