Henti Sebar Kempen #SelamatkanZulkifli Kata Pengerusi PBPM.


Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) meminta orang ramai menghentikan penyebaran kempen #SelamatkanZulkifli yang menjadi viral di laman sosial ketika ini.   

Presiden PBPM, Dr Hassan Yusoff berkata kempen itu kononnya dilakukan untuk memberi sokongan terhadap Zulkifli Ismail, 50, yang didakwa atas tuduhan membunuh perompak yang cuba memasuki rumahnya.    

"Kita tidak mahu viral ini terus tersebar kerana ia akan menyukarkan siasatan polis selain boleh mengganggu psikologi keluarga pihak terlibat.

"Orang ramai sepatutnya memberi peluang kepada polis menjalankan siasatan dan seterusnya kepada mahkamah untuk memutuskannya," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.   

Dalam kejadian pada 7 Disember lepas, Zulkifli dilaporkan menikam dua perompak yang memasuki rumahnya di Kampung Labohan Kertih, Terengganu dan seorang daripadanya meninggal dunia.   

Dia kemudian ditahan reman dan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana melakukan kecederaan, di Mahkamah Majistet di Terengganu, bulan lepas.   

Dr Hassan berkata sebagai bekas pegawai polis beliau berpendapat tindakan menahan Zulkifli tidak menyalahi undang-undang kerana polis perlu menjalankan siasatan secara terperinci berhubung kes itu.   

"Saya sokong tindakan polis kerana mereka tahu apa yang berlaku di tempat kejadian," katanya. - Bernama

Share this :

Previous
Next Post »