t>

Breaking News

Jika Mukhriz Gugur Sebagai MB, Mahathir Keluar UMNO.


Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan akan keluar daripada Umno sekiranya pucuk pimpinan parti itu memutuskan untuk menyingkirkan anaknya daripada jawatan Menteri Besar Kedah.

Desas-desas tersebut tersebar sejurus selepas Tun Mahathir mengadakan perjumpaan tertutup bersama Datuk Seri Mukhriz Mahathir di Langkawi lewat petang semalam lapor Suara TV.

Laporan itu turut menyebut, Tun Mahathir dikatakan kecewa dengan tindakan beberapa pimpinan Umno Kedah diketuai Timbalan Pengerusinya, Datuk Ahmad Bashah yang mengisytiharkan hilang kepercayaan terhadap Mukhriz dalam satu sidang media di Alor Setar, Kedah, Rabu lalu.

Mereka antara lainnya mendesak agar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak melucutkan jawatan Mukhriz sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Negeri dan Menteri Besar Kedah.

Menurut desas-desus yang tersebar itu, Tun Mahathir dikatakan marah dan mengugut akan mengumumkan keputusan untuk keluar parti sekiranya Umno bertegas untuk melantik Menteri Besar yang baharu.

Dr Mahathir pernah mengumumkan keluar UMNO pada 19 Mei 2008 kerana tidak yakin dengan kepimpinan penggantinya pada masa itu, Tun Abdullah Abdullah Ahmad Badawi dan masuk semula UMNO setahun selepas itu.

Sementara itu portal myKMU.net melaporkan Kedah bakal mendapat Menteri Besar Ke-12 selewat-lewatnya Rabu ini apabila 20 daripada 21 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), Barisan Nasional (BN) bersetuju untuk menggantikan Mukhriz.

Menurut sumber portal tersebut, kesemua mereka telah menyatakan taat setia kepada Najib selaku Presiden UMNO.

Mereka juga dikatakan bersedia menghadap DYMM Tuanku Sultan Kedah sekiranya dipanggil untuk menyatakan sokongan mereka terhadap keputusan tersebut.