t>

Breaking News

Mahu Qu Puteh Jadi Penaja? - KAFA Perlu Tukar Stadium Kepada Warna Pink, Sanggup?


Stadium Sultan Muhammad IV dicat dengan warna merah jambu dan nama The Red Warrior (TRD) didahulukan dengan Pamoga Qu Puteh, itulah menjadi syarat syarikat Vida Beauty Sdn Bhd kepada Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa).
Dengan memenuhi syarat tersebut, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman berkata, pihaknya bersedia untuk menjadi penaja pasukan bola sepak Kelantan untuk mengharungi musim 2016.
"Soal tajaan, saya tidak kisah... Jika mereka (Kafa) tidak cukup perbelanjaan, saya boleh salurkan. Mereka memerlukan dana secepat mungkin dan saya bersedia membantu tetapi bersyarat.
"Syarat pertama, Stadium Sultan Muhammad IV dicat dengan warna merah jambu kerana ia dapat menghasilkan satu kelainan kepada penyokong bola sepak Kelantan.
"Kedua, nama pasukan seharusnya ditukar kepada Pamoga Qu Puteh The Red Warriors seperti Negeri Sembilan yang menukar nama pasukan itu kepada NS Matrix," katanya seperti dilaporkan BH.
Dr Hasmiza yang dikenali dengan prosuk kecantikan Qu Puteh itu berkata, pihaknya berharap dapat membangunkan pasukan Kelantan yang sebelum ini amat disegani oleh pasukan lain.
Terdahulu Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa, optimis mendapatkan sebanyak mungkin tajaan bagi meningkatkan semula prestasi skuad TRW dalam saingan Liga M musim 2016.
Mengulas lanjut, Dr Hasmiza berkata walaupun rundingan awal menemui kegagalan, pihaknya sentiasa membuka pintu kepada Kafa untuk melakukan perbincangan lebih terperinci mengenai usaha itu.
"Bagi saya permintaan Kafa tiada masalah, cuma bila saya tunaikan mereka perlu memberi ruang kepada saya melakukan sesuatu yang positif kepada pasukan.
"Saya memang terpanggil untuk menjadi sebahagian daripada pasukan ini memandangkan saya berasal dari Machang, Kelantan. Saya pasti rundingan akan dilakukan lagi kerana Kafa memang memerlukan bantuan saya," katanya yang sebelum ini telah menemui Annuar untuk membincangkan perkara tersebut. -Mkini.