t>

Breaking News

Yang Itu Biarlah Kata JAKIM - Isu Pertandingan Ratu Cantik Di Melaka.

Ketua Pengarah Jakim, Datuk Othman Musthapa enggan mengulas penganjuran pertandingan akhir Miss Tourism World 2015/16 di Melaka, esok yang disifatkan dua parti pembangkang Islam sebagai bertentangan syariat Islam dan adab ketimuran.
"Yang itu biarlah," kata Othman ringkas kepada pemberita pada sidang media pengumuman keputusan peperiksaan Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK), di Putrajaya hari ini.
PAS, Parti Amanah Negara (AMANAH) Melaka dan beberapa NGO sebelum ini kesal dengan penganjuran pertandingan Miss Tourism 2015/16 di Melaka.
Antara yang tampil membantah penganjuran Miss Tourism itu adalah Ketua Angkatan Wanita AMANAH, Mahani Othman Basir yang dilapor berkata jelas sekali pertandingan Miss Tourism ini haram di sisi Islam kerana pakaian yang menjolok mata, tidak sopan dan hadirin pula terdiri dari kaum lelaki dan wanita.
Malah, menurut Mahani lebih malang lagi Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron sendiri turut hadir memeriahkan acara tersebut.
Bagaimanapun, Idris Haron berkata sektor pelancongan Melaka mampu mendapat manfaat besar terutama dalam limpahan publisiti menerusi kunjungan ratu cantik dari seluruh dunia.
Kata Idris, pendekatan bijak mempromosi pelancongan negeri menerusi pertandingan ratu cantik berupaya meletakkan Melaka sebagai destinasi pelancongan berjenama besar.
Bagi Ketua Dewan Muslimat PAS, Melaka, Kintan Man pertandingan ratu cantik 'mengeksploitasi wanita’.
“Dewan Muslimat yang mendukung dasar PAS iaitu Islam membantah sekeras-kerasnya penganjuran program tersebut.
“Sesungguhnya Islam mengangkat lagi memartabatkan maruah wanita,” kata Kintan dalam satu kenyataan media sambil menambah bahawa terbukti melanggar syariat Allah,” katanya.
Miss Tourism World adalah acara antarabangsa yang sebelum ini pernah diadakan antaranya, di Venezuela, Equatorial Guinea dan Thailand.
Pemenang Miss Tourism World tahun ini yang diadakan di Melaka akan dimahkotakan pada Sabtu ini.  -Mkini.