t>

Breaking News

Adenan Harap Najib Boleh Jadi PM Sampai Kiamat.


Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem berharap supaya Datuk Seri Najib Tun Razak dapat menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri Malaysia dalam suatu masa yang panjang.

"Beliau sayang negeri Sarawak, ambil berat kepada kita dan kita pun sayang kepada beliau
dan mudah-mudahan beliau jadi PM sampai kiamat," kata Adenan.

Ujarnya, Najib merupakan Perdana Menteri paling kerap melawat Sarawak dalam tempoh hanya enam tahun memegang jawatan tersebut.

Menurutnya, sepanjang dilantik memegang jawatan pemimpin nombor satu negara itu, Najib sudah mengadakan lawatan ke Sarawak meliputi hampir seluruh pelosok negeri ini sebanyak 46 kali.

Katanya, rekod dipegang Najib dijangka terus bertambah memandangkan terdapat banyak lagi program lawatan beliau dirancang selepas ini.

"Dalam masa enam tahun menjadi Perdana Menteri, Najib telah datang ke Sarawak sebanyak 46 kali iaitu lebih banyak daripada lima Perdana Menteri sebelum ini," kata Adenan dalam ucapan beliau pada Majlis Pelancaran Projek Pan Borneo Sarawak bagi Jajaran Bulatan Serian-Simpang Pantu, di sini hari ini.

Menurutnya lagi, berbeza dengan pemimpin lain, Najib juga tidak pernah datang dengan tangan kosong setiap kali kunjungannya.

Katanya, sudah banyak projek pembangunan bernilai berbilion ringgit diluluskan oleh Najib termasuklah pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo bernilai RM16 bilion yang membolehkan rakyat negeri ini menikmati kemudahan jalan raya yang selesa seperti rakyat di Semenanjung.

Tambahnya, meskipun ekonomi negara merosot disebabkan kejatuhan harga minyak dunia dan kerajaan Pusat kekurangan wang, namun Najib tetap meluluskan projek lebuh raya tersebut demi memenuhi keperluan rakyat negeri ini.

"Di mana kita (rakyat Sarawak) hendak mencari Perdana Menteri seperti Najib? Ada seorang pemimpin menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun, tapi tidak sama (jumlah lawatan ke Sarawak) macam Najib Razak," katanya. - Awani.