"Saya Pernah Tanya Najib Kenapa Buat GST, Nanti Rakyat Marah" - Rosmah Mansur.

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor menegaskan bahawa keputusan kerajaan melaksanakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sejak April tahun lalu bukan bertujuan untuk menyusahkan rakyat.
Kata Rosmah, beliau pernah bertanya kepada Datuk Seri Najib Razak kenapa mahu melaksanakan GST, kerana ia boleh mengundangkan kemarahan rakyat.
Namun jelas suaminya, keputusan untuk melaksanakan cukai tersebut adalah bersebab dan demi kebaikan rakyat dan negara.
“(Perdana menteri) buat sesuatu itu kerana ada sebab … nasib baik kita ada GST, dengan harga minyak jatuh, dan (kalau) kita tak ada GST lagi susah.
“Saya pernah tanya kenapa buat GST… orang marah. Dia (Najib) kata ‘I want to be a responsible leader to my people and country. I do not want to be a populist leader’ (Saya mahu menjadi pemimpin yang bertanggungjawab kepada rakyat dan negara saya. Saya tidak mahu menjadi pemimpin populis),” katanya dipetik Bernama dalam temu bual menerusi program bual bicara ‘Langit Biru’ terbitan Bernama Radio dan Biro Tatanegara di Wisma Bernama, semalam.
Rosmah berkata demikian sebagai memberi contoh antara usaha yang dilakukan oleh Perdana Menteri yang sentiasa memikirkan kaedah terbaik untuk membantu rakyat ketika ditanya bagaimana presiden UMNO itu menzahirkan semangat patriotismenya.
Jelas Rosmah, Perdana Menteri sentiasa berhempas pulas untuk membangunkan negara dan beliau tidak pernah berhenti berfikir tentang apa lagi yang mahu dilakukan supaya rakyat dapat hidup lebih aman dan mendapat rezeki yang lebih.
“Bagaimana untuk menarik lebih ramai pelabur datang, (beliau) sentiasa memikirkan kebaikan dan kesenangan rakyat,” katanya lagi.
Program ‘Langit Biru’ yang pertama kali bersiaran semalam dikendalikan oleh Wan Syahrina Abd Rahman bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said.
Rosmah yang juga Pengerusi Yayasan PERMATA merupakan tetamu jemputan pertama program itu yang bersiaran setiap Selasa mulai 6.15 petang hingga 7 malam di Bernama Radio lapor PRUTV.

Share this :

Previous
Next Post »